KUALA LUMPUR – Asisten Komisioner S. Shanmugamoorthy Chinniah memulakan tugas sebagai Ketua Polis Daerah Sentul yang baharu hari ini menggantikan R. Munusamy yang dilantik sebagai Senior Asisten Komisioner Modenisasi Pengurusan Organisasi, Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan) Bukit Aman.
Majlis Serah Terima Tugas yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini, disaksikan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim.
Shanmugamoorthy sebelum ini merupakan Penolong Pengarah Pendakwaan/Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, telah berkhidmat selama 32 tahun dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Pelantikan itu menjadikan Shanmugamoorthy Ketua Polis Daerah Sentul yang ke-19 sejak penubuhan Ibu pejabat polis daerah itu pada 1974.
Dalam ucapannya pada majlis itu, Shanmugamoorthy berkata beliau komited meneruskan usaha mengurangkan indeks kadar jenayah di daerah tersebut dengan strategi dan perancangan teliti.
Menurutnya, banyak perancangan yang telah diatur, namun beliau mengambil pendekatan awal dengan mendekati masyarakat dan memahami situasi jenayah di daerah berkenaan.
“Saya janji akan menjalankan tugas sebaik mungkin dan peringkat awal ini, saya mahu memahami dan berinteraksi dengan komuniti bagi mengenal pasti masalah mereka,” katanya.
Pada majlis sama, Pegawai Turus Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Polis Kuala Lumpur Superintendan Heisham Harun turut menerima tugas sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul menggantikan Supt Mohamed Rafiq Mohamed Mustafa yang dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah Urusetia, Bahagian Kepolisan Am, Jabatan KDNKA Bukit Aman.
Dalam pada itu, Mazlan dalam ucapannya berkata indeks kadar jenayah di daerah Sentul menunjukkan penurunan 12.49 peratus iaitu 2,201 kes pada 2017 dan 1,926 pada 2018 dalam tempoh Januari hingga September.
Menurutnya jenayah indeks bagi Sentul yang dicatatkan pada 2018 itu adalah lebih rendah dari nilai ambang yang telah ditetapkan bagi daerah itu iaitu 2,137 kes.
“Ini adalah cabaran kepada ketua polis daerah baharu untuk mengekalkan kesinambungan dengan melaksanakan tugas cemerlang bagi memastikan keharmonian di kawasan ini,” katanya. – BERNAMA