GEORGE TOWN – Qatar Airways sedang mengkaji kemungkinan untuk menambah Langkawi kepada senarai penerbangan terus dari Doha, Qatar, kata Pengurus Negara Malaysia dan Brunei Qatar Airways, Datuk Muzamil Mohamad.
Bagaimanapun, katanya syarikat penerbangan itu belum menetapkan tarikh sasaran untuk memperkenalkan penerbangan sulung dari Doha ke Langkawi.
“Terdapat banyak tempat yang cantik di Malaysia dan sebagai syarikat rangkaian Qatar Airways dengan hubungan yang baik melalui Doha, kami berharap dapat membawa lebih ramai pelancong ke Malaysia dengan kuasa perbelanjaan untuk membantu industri pelancongan negara,” katanya pada bengkel kulinari eksklusif anjuran Qatar Airways dan dikendalikan oleh Chef Wan di sini hari ini.
Muzamil juga berkata hab rangkaian Qatar Airways, Hamad International Airport di Doha, menambah 20 destinasi baharu pada 2018, termasuk tiga destinasi baharu yang akan dimasukkan pada Disember iaitu Mombasa, Kenya; Danang, Vietnam; dan Gothenburg, Sweden.
“Pada masa ini, Qatar Airways telah menghubungkan lebih 150 destinasi dari enam benua,” katanya. – BERNAMA