PETALING JAYA – Akibat memukul isteri keduanya sehingga cedera enam bulan lalu, seorang pengawal keselamatan dihukum penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Mohd. Ikhwan Mohd. Nasir menjatuhkan hukuman itu selepas Jaimi Jaya, 35, menukar pengakuan kepada bersalah pada hari pertama perbicaraan yang dijadualkan pada hari ini.
Mengikut pertuduhan, Jaimi didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya, Manisha Jaimi, 25, dengan memukul wanita itu pada bahagian bibir, tangan dan kepala di dalam sebuah kereta di tepi jalan Pangsapuri Seri Pelangi, Jalan Puchong Utama 5, Taman Puchong Utama, Puchong dekat sini kira-kira pukul 3.30 petang, 11 April lalu.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun.
Mengikut fakta kes, ketika kejadian, berlaku perselisihan faham antara tertuduh dengan isteri keduanya sebelum wanita itu dipukul di bahagian bibir, tangan dan kepala.
Terdahulu, peguam Shahul Hamid yang mewakili Jaimi memaklumkan anak guamnya menyesal atas perbuatannya dan tidak akan mengulanginya lagi.
“Saya mohon hukuman penjara minimum kerana ini adalah kesalahan pertama anak guam selain tertuduh perlu menanggung bapanya yang sakit jantung serta mempunyai dua isteri,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Fazeedah Faik memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh. – UTUSAN ONLINE

