PUTRAJAYA – Khabar angin mengenai kebocoran instrumen Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Kemahiran Hidup Bersepadu Ujian Bertulis bagi Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan calon dikehendaki menduduki semula kertas tersebut adalah tidak benar.
Lembaga Peperiksaan dalam satu kenyataan berkata tidak ada keperluan untuk calon menduduki semula kertas tersebut kerana PT3 dilaksanakan secara Pentaksiran Pusat.
“Ibu bapa/penjaga dan murid tidak perlu bimbang berkaitan perkara ini.
“Pihak sekolah telah melaksanakan PT3 yang dilaksanakan pada 1 hingga 4 Oktober lalu berdasarkan garis panduan yang telah diberikan oleh Lembaga Peperiksaan dengan penyeliaan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD),” katanya.
Lembaga Peperiksaan berkata demikian bagi mengulas berhubung berita yang tular di laman media sosial (WhatsApp) meminta pelajar untuk mengambil semula peperiksaan PT3 susulan kebocoran maklumat pada sesetengah subjek.
Paparan WhatsApp itu memaklumkan calon akan menduduki subjek Matematik dan Bahasa Inggeris pada 15 Oktober ini dan Sains serta Kemahiran Hidup pada 16 Oktober ini.
Seramai 411,329 calon menduduki PT3 tahun ini. – BERNAMA