KUALA TERENGGANU – Seorang penjenayah yang terkejut dengan jeritan wanita yang mahu disamunnya bukan sahaja gagal meraih habuan sebaliknya diburu polis selepas tercicir barangan miliknya termasuk lesen memandu dalam kejadian di Jalan Masjid Abidin, di sini pada 6 Oktober lalu.
Selain lesen memandu, suspek dikenali sebagai Yusof Yahya, 38, turut meninggalkan motosikal, jaket dan topi keledar dipakainya di tempat kejadian ketika cuba melarikan diri dalam kejadian kira-kira jam 7.10 pagi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Superintendan Suffian Sulaiman, berkata kejadian dipercayai berlaku ketika guru berusia 50 tahun itu berada di kawasan berkenaan untuk pemeriksaan di klinik berhampiran.
Katanya, mangsa yang sedang menunggu klinik itu beroperasi tiba-tiba dihampiri suspek yang memakai jaket hitam menunggang sebuah motosikal.
“Terkejut dengan kehadiran suspek yang bersenjatakan pisau, mangsa bertindak menjerit menyebabkan pengawal keselamatan yang berada berhampiran tempat kejadian datang membantu.
“Suspek yang panik dengan jeritan itu melarikan diri dengan meninggalkan motosikal, lesen, jaket dan topi keledar dipakainya di tempat kejadian.
“Kita berjaya mengenal pasti identiti suspek yang beralamat di Kampung Telaga Mengkudu, Bukit Payung di Marang dan Kampung Paya Bunga, di sini dan kita percaya suspek terbabit dalam lebih satu kes,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini hari ini.
Suffian berkata, pihaknya sudah melakukan serbuan di rumah keluarga dan kenalan rapat suspek namun tiada tangkapan dilakukan.
Katanya, siasatan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau namun pernah ditangkap kerana kesalahan dadah.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diharapkan dapat menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan melakukan samun,” katanya. – BH ONLINE

