MELAKA – Penjawat awam perlu berasa yakin dan berpegang terhadap sistem berkecuali dalam usaha memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan kerajaan semasa, kata Ketua Menteri Melaka Adly Zahari.
Beliau berkata dengan sistem berkecuali penjawat awam perlu berkhidmat tanpa bersikap pilih kasih atau pun berasa takut, malah jika diarah melakukan sesuatu yang bertentangan dengan undang-undang negara, mereka mempunyai pilihan untuk tidak mengikut arahan tersebut.
“Ia juga selaras dengan tagline ‘saya yang menjalankan amanah’, yang mana ini akan meningkatkan prestasi penjawat awam seterusnya melonjakkan taraf perkhidmatan awam yang dinamik dan efisien bagi memenuhi hasrat rakyat dan juga pelanggan.
“Ini kerana penjawat awam sentiasa menjadi tulang belakang pentadbiran kerajaan yang mempunyai pengaruh besar kepada rakyat sebagai jentera pelaksana dasar dan penyampai perkhidmatan kerajaan,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Bicara Perundangan Siri 2/2018 (Struktur Kerajaan dan Sistem Pentadbiran Perkhidmatan Awam) di Auditorium Seri Negeri, Ayer di sini itu turut dihadiri oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Seri Roslan Ibrahim.
Adly berkata penjawat awam perlu menunjukkan contoh terbaik kepada rakyat dengan menzahirkan pandangan, meraikan perbezaan pendapat, bersikap adil, sentiasa bersangka baik, saling menghormati dan mendahulukan kepentingan rakyat bertepatan dengan prinsip sistem Demokrasi Berparlimen.
“Saya menyeru kepada semua yang hadir agar dapat menghayati intipati bicara perundangan ini dan terus menyatakan sokongan terhadap pentadbiran kerajaan negeri yang mengamalkan pemerintahan yang bersih dan amanah di samping membudayakan nilai-nilai murni termasuk berdisiplin, rajin, berani, adil, sentiasa bersangka baik, hormat menghormati, tertib dan sopan serta berbudi bahasa.
“Manakala, pegawai kanan pula perlu memainkan peranan dengan memberikan nasihat yang betul apabila berlaku perkara yang bercanggah dengan kepentingan agar tugas dapat dijalankan dengan amanah,” katanya.
Beliau berkata pada masa sama kerajaan negeri juga perlu bersedia menerima nasihat demi mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan sekali gus melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh integriti dan jujur. – BERNAMA