PUTRAJAYA – Membanteras gangsterisme melalui pendidikan rohaniah di peringkat pertubuhan bukan kerajaan (NGO), di kuil dan sekolah-sekolah dicadangkan sebagai pendekatan dalam menangani isu gangsterisme dalam kalangan masyarakat India di negara ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P.Waythamoorthy.
Beliau berkata, cadangan berkenaan dipersetujui sebulat suara dalam mesyuarat pertama beliau dengan pemimpin dari 50 NGO Hindu dari seluruh negara yang berlangsung di bangunan Perdana Putra di sini hari ini.
“Mesyuarat hari ini dipanggil oleh saya untuk berjumpa dengan badan-badan bukan kerajaan Hindu untuk berbincang dan mendapatkan input mereka mengenai cara menangani isu gangsterisme dalam kalangan masyarakat India,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat berkenaan berakhir.
Tambah Waythamoorthy, perbincangan hari ini mencapai persetujuan untuk jalankan kempen ‘mencegah jenayah menerusi kerohanian’ kerana semua pihak percaya pendidikan rohaniah dapat membanteras pengaruh gangsterisme.
Jelas beliau, pada masa ini kempen berkenaan masih di tahap awal perbincangan dan ia dijangka dilaksanakan pada suku pertama tahun depan.
Kata Waythamoorthy, kesemua wakil ngo yang hadir mesyuarat pada hari ini sepakat bahawa konsep Rukun Negara yang pertama iaitu Kepercayaan kepada Tuhan dan penerapan nilai-nilai murni mampu membentuk warganegara yang baik. – BERNAMA