PUTRAJAYA – Terdapat keperluan untuk mengadakan pemeriksaan berterusan terhadap pemboleh dalam ekosistem pendidikan tinggi, termasuk pembiayaan, tadbir urus, inovasi, pengantarabangsaan, pembelajaran dalam talian dan penyampaian, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.
“Hanya dengan itu kita dapat memperoleh keputusannya bagi pemegang kepentingan utama kita dalam sistem pendidikan tinggi, merangkumi graduan holistik berciri keusahawanan seimbang; kecemerlangan bakat; graduan TVET (pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional) berkualiti dan Malaysia sebagai negara pembelajaran sepanjang hayat,” katanya.
Maszlee berkata pemboleh dan keputusan ini menangani isu dasar serta pencapaian utama dalam sistem, terutamanya berhubung kualiti dan kecekapan, selain trend global yang mengendalakan landskap pendidikan tinggi.
Dalam ucapan yang dibacakan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Institusi Pendidikan Tinggi) Professor Dr Noor Azizi Ismail pada Forum Pendidikan Tinggi Global (GHEF) 2018 di sini hari ini, Maszlee berkata banyak yang boleh Malaysia lakukan untuk mencapai kesohoran global.
“Antara lain ia menggalakkan lebih banyak kerjasama antara kementerian dan agensi dengan menggerakkan platform komunikasi dengan kehendak politik yang diperlukan untuk melancarkan proses imigresen serta kemasukan bagi pelajar antarabangsa yang datang ke Malaysia,” katanya.
Maszlee berkata Malaysia juga boleh membangunkan sebuah Konsortium Kebangsaan Universiti Awam bagi diplomasi pendidikan untuk mengenal pasti pasaran baharu bagi pertumbuhan populasi pelajar antarabangsa yang mampan.
Inisiatif lain adalah dengan memanfaatkan demokrasi dan kepelbagaian budaya di Malaysia sebagai kisah kejayaan serta sebagai jenama terulung dalam pendidikannya, katanya.
“Kita juga boleh memodenkan layanan di universiti awam kita kepada pelajar antarabangsa serta tanggungan mereka dengan menyediakan pilihan dan kualiti penginapan di kampus,” katanya.
GHEF selama dua hari bermula semalam itu bertujuan berbincang dan berkongsi pengalaman tentang cabaran serta kemajuan dalam ekosistem pendidikan tinggi dinamik dan bagaimana pengetahuan, industri dan kemanusian dapat melonjakkan pendidikan tinggi ke tahap lebih baik dalam persekitaran global yang mencabar. – BERNAMA

