SEREMBAN – Tindakan enam pelajar yang bertindak memanjat turun dari tingkat empat sebuah rumah pangsa di Lobak dekat sini untuk melarikan diri selepas perbuatan mereka ponteng sekolah terbongkar, gagal apabila mereka terperangkap di dalam sebuah unit rumah yang berkunci.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, lima pelajar lelaki dan seorang pelajar perempuan tingkatan lima sebuah sekolah menengah di sini telah terperangkap di dalam unit rumah di tingkat tiga.
“Akhirnya mereka diselamatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) menggunakan tangga untuk turun dari rumah tersebut,” kata Anggota Dewan Undangan Negeri Lobak Chew Seh Yong kepada pemberita di tempat kejadian di sini, hari ini.
Katanya beliau dihubungi penduduk yang mengadu sekumpulan 10 pelajar didapati ponteng sekolah dan berkumpul di sebuah unit rumah tidak berpenghuni di tingkat empat rumah pangsa itu.
“Dua orang guru sekolah datang tidak lama kemudian untuk menangani masalah itu, saya juga menghubungi polis dan apabila menyedari kehadiran polis, para pelajar itu cuba melarikan diri.
“Bagaimanapun, enam daripada mereka telah bertindak melarikan diri dengan keluar dari serambi di bahagian dapur rumah berkenaan ke tingkat tiga tetapi mendapati mereka terperangkap di dalam rumah yang berkunci,” katanya.
Katanya pasukan bomba mengambil masa lebih satu jam untuk menurunkan pelajar berkenaan yang kemudiannya dibawa ke balai polis berhampiran untuk tindakan selanjutnya.
Ketua Operasi Balai Bomba Seremban, K. Putthisigmany berkata, pihaknya menerima panggilan meminta bantuan pada 9.13 pagi.
“Seramai lapan anggota bersama satu jentera dan sebuah ambulans Unit Kecemasan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan (EMRS) dari Balai Bomba Seremban bergegas ke lokasi kejadian untuk membantu menurunkan para pelajar tersebut,” katanya. – BERNAMA

