BUKIT MERTAJAM – Polis menahan sepasang suami isteri warga Indonesia kerana menjalankan kegiatan memproses dan menjual air ketum dalam serbuan di sebuah stor di rumah mereka di Taman Tenang, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata bertindak hasil maklumat dan risikan yang dijalankan, polis menyerbu stor yang dibina di tepi rumah pasangan berusia 31 dan 35 tahun berkenaan pada pukul 6.30 petang semalam.
“Hasil pemeriksaan dalam stor itu, polis menemui 145 bungkusan air ketum yang telah siap diproses dalam sebuah tong merah dipercayai untuk dihantar kepada pembeli mereka. Polis turut merampas satu periuk besar di dalamnya berisi daun-daun ketum untuk diproses menjadi air ketum dan beberapa peralatan memproses air tersebut,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.
Beliau berkata siasatan mendapati pasangan yang tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri itu menjalankan kegiatan memproses dan menjual air ketum tersebut sejak beberapa bulan lepas.
Katanya siasatan juga mendapati pasangan berkenaan menjual air ketum yang telah diproses itu kepada pelanggan tetap mereka di sekitar Bukit Mertajam dengan harga RM10 bagi setiap bungkus.
“Pasangan itu membina stor di sebelah rumah sewa tersebut sebagai tempat memproses air ketum dan dipercayai mereka mendapatkan bekalan daun ketum dari negeri jiran,” katanya.
Beliau berkata pasangan berkenaan kini direman untuk siasatan lanjut dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Sementara itu, Nik Ros Azhan berkata polis menahan dua lelaki warga Myanmar berusia 47 dan 48 tahun kerana terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Kerjasama, di sini Sabtu, lepas.
Katanya polis menyerbu rumah itu pada pukul 6.30 petang dan menahan mereka yang tidak bekerja tersebut sedang membungkus dadah jenis heroin serta merampas 19 plastik heroin bernilai kira-kira RM5,000.
“Berdasarkan siasatan, mereka mendapatkan bekalan daripada sindiket pengedaran dadah sebelum membungkus semula dan menjual kepada rakan-rakan mereka yang juga warga Myanmar di sekitar daerah SPT,” katanya. – BERNAMA

