TEGAS… Datuk Seri Najib Razak mempertahankan pendiriannya sebelum ini bahawa dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi beliau adalah sumbangan daripada Arab Saudi.
Bekas Perdana Menteri itu malah berkata, beliau ada bukti dokumen bank yang menunjukkan dana tersebut yang disalurkan ke dalam akaunnya adalah dari Kementerian Kewangan Arab Saudi dan putera raja Arab Saudi.
“Walaupun Menteri Luar Arab Saudi, Adel Ahmed Al-Jubeir pernah dua kali dengan mulut sendiri mengesahkan Arab Saudi yang menderma wang kepada saya, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah mendakwa berbeza.
“Hari ini (semalam) Adel memberitahu beliau wang yang disebut RM2.6 bilion konon tidak ada kaitan dengan kerajaan Arab Saudi. Ini ialah hantaran mengenai penjelasan saya bulan lalu yang mana saya memberi bukti.
“Semua surat penderma ialah dari orang yang sama. Di hantaran itu, saya turut tunjuk bukti dokumen dari bank membuktikan dana disalur kepada akaun saya ialah terus dari Kementerian Kewangan kerajaan Arab Saudi.
“Juga dari putera Arab Saudi. Hampir semua dana yang disebut RM2.6 bilion ini sudah dikembalikan kepada sumber yang menyalurkan empat bulan selepas diterima. Saya pun didakwa kerana menerima dana ini.
“Dan saya juga didakwa kerana mengembalikannya,” kata Najib dalam nada sinis menerusi entri akaun sosial Facebooknya, malam tadi yang tular dalam kalangan netizen tempatan sehingga terima lebih 5,000 tanda suka.
Najib memuat status berkenaan susulan Saifuddin dalam sidang medianya di Putrajaya berkata konon Adel menyatakan derma RM2.6 bilion yang didakwa diterima Najib tiada kena mengena dengan kerajaan Arab Saudi.
Saifuddin dalam pertemuannya dengan Adel yang turut sentuh isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) serta derma RM2.6 bilion, Menteri Saudi itu menyatakan dana tersebut konon tiada kena mengena dengan kerajaan Arab Saudi.
“Menurutnya, ketika bertemu di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu Ke-73 di New York pada bulan lalu, Adel memberitahunya kerajaan Arab Saudi akan bekerjasama dalam siasatan 1MDB.
“Hari ini ulangi sekali lagi ia tiada kaitan dengan Arab Saudi,” kata Saifuddin kepada pemberita selepas turut hadir pada kunjungan hormat Adel terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. – Agensi/Mynewshub.TV

