LONDON – Pemain tengah Manchester City, Bernardo Silva mendakwa jika pasukannya menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim ini bakal menjadi pencapaian terbaik yang dilakukan mereka pada musim lalu.
Musim lalu, City menjuarai EPL dengan mencipta rekod apabila menjadi pasukan pertama mengumpul 100 mata menewaskan pencabar terdekat, Manchester United yang ketinggalan 19 mata di kedudukan kedua.
Meskipun masih terlalu awal namun City tekad untuk memburu kejuaraan yang sama pada musim ini.
Kemenangan 1-0 ke atas Tottenham pada Isnin lalu membolehkan mereka naik ke tangga teratas berkongsi 26 mata dengan Liverpool namun dipisahkan dengan jaringan gol.
Itu merupakan kemenangan mereka yang kelapan daripada 10 aksi liga dan tidak dibolosi enam perlawanan namun Silva berkata dia dapat merasakan saingan yang bakal diterima City pada musim ini lebih sengit.
“Saya fikir musim ini lebih sukar berbanding musim lalu kerana tiada sesiapa yang menjangkakan kami boleh menang sebanyak itu dan mengumpul mata sebanyak itu, jadi musim ini pencabar tahu mereka perlu buat lebih baik untuk menewaskan kami.
“Sudah pasti saingan lebih sengit namun kami akan berusaha keras setiap perlawanan untuk mendapatkan tiga mata dan pada hujung musim kami akan menyambut kemenangan satu lagi trofi EPL.
“Saya fikir Chelsea dan Liverpool merupakan pencabar terdekat, mereka kuat, begitu juga dengan Arsenal.
“Tottenham tidak ketinggalan, walaupun mereka tewas tetapi mereka tetap pencabar,” katanya. – AFP