IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) diminta menimbang mewujudkan sebuah pasar pagi di Taman Seri Bota di sini bagi kemudahan penduduk sekitar.
Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Simpang Pulai Tan Kar Hing pasar pagi tersebut boleh dijadikan sebagai pasar alternatif kepada puluhan ribu penduduk sekitar yang ketika ini bertumpu di Pasar Gunung Rapat.
“Pasar Gunung Rapat merupakan satu-satunya pasar awam yang paling besar untuk kawasan perumahan sekitar sini yang mempunyai puluhan ribu pengunjung dan keadaan bertambah sesak di dalam atau di luar pasar apabila hujung minggu.
“Sebab itu kita sedang mengenal pasti supaya ada tapak pasar sementara ataupun kekal di Taman Seri Botani,” katanya selepas mengikuti program gotong-royong di Pasar Gunung Rapat hari ini.
Tan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri berkata pihaknya juga telah berbincang dengan 40 penjaja yang berniaga di tempat yang tidak digazetkan untuk diletakkan di satu tapak baharu.
Pada masa sama, beliau meminta MBI menambah baik kemudahan di Pasar Gunung Rapat bagi keselesaan pengunjung dan kira-kira 170 peniaga di situ.
“Saya mencadangkan agar pihak MBI dapat memasang kipas untuk keselesaan pengunjung kerana keadaan di sini terlalu panas serta saya mengharapkan agar gerai-gerai dapat diseragamkan.
“Kalau kita lihat gerai-gerai di sini sudah uzur dan tidak seragam, setakat ini hanya gerai ikan sahaja yang ada keseragaman dengan meja batu tetapi untuk gerai bahan kering memang tiada keseragaman,” katanya. – BERNAMA