PUTRAJAYA – Persatuan Agen-agen Pelancongan Malaysia (MATTA) hari ini menyumbang RM100,000 kepada dana amanah kerajaan, Tabung Harapan Malaysia.
Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang menyerahkan jumlah berkenaan, hasil kutipan RM1 bagi setiap RM4 daripada tiket masuk ke Pesta MATTA Kuala Lumpur yang diadakan pada bulan lepas, kepada Menteri Pengangkutan, Anthony Loke di kementerian berkenaan.
Tan dalam satu kenyataan berkata, MATTA berbesar hati untuk menyumbang kepada Tabung Harapan Malaysia untuk kebaikan negara dan menyokong terhadap usaha untuk mengukuhkan situasi ekonomi negara.
“Ia turut memenuhi hasrat persatuan untuk membantu kerajaan terutama dalam industri pelancongan, yang juga sektor penting dalam ekonomi negara. Industri ini mencatatkan sumbangan dalam ekonomi negara berjumlah RM201.4 billion pada 2017,” tambah beliau.
Tan berkata, MATTA akan mengemukakan beberapa cadangan bagi industri pelancongan kepada Loke, yang memberi tumpuan kepada tiga kategori pengangkutan iaitu darat, air dan pelayaran cruise. – BERNAMA