PUTRAJAYA – Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (MAHA) 2018 mendapat sambutan hangat dengan kira-kira 95 peratus daripada 1,500 buah gerai telah ditempah oleh penggiat industri pertanian dan agro-makanan negara menjelang 50 hari lagi acara tersebut.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, kelainan yang akan ditonjolkan pada MAHA 2018 kali ini ialah elemen teknologi atau agroteknologi dan penggunaan Internet dalam pertanian.
“Antara yang akan dipamerkan pada MAHA 2018 ialah dron yang boleh digunakan dalam sektor pertanian serta Internet of Things bagi menggalakkan industri pertanian Malaysia beralih kepada teknologi pertanian berasaskan Internet,” katanya pada pemberita pada majlis ’50 Hari Menjelang MAHA 2018 di Wisma Tani di sini hari ini.
Pada majlis hari ini Salahuddin turut meletakkan pelekat MAHA 2018 pada kenderaan jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
Jelas beliau, setakat hari ini MAHA 2018 telah menerima penajaan mencecah RM5 juta daripada sebanyak 26 syarikat yang merupakan rakan strategik kementerian dan jumlah ini dijangka meningkat menghampiri hari penganjuran.
MAHA yang dijadikan acara dwi-tahunan sejak 1999 bakal berlangsung selama 11 hari mulai 22 November hingga 2 Disember depan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang. – BERNAMA

