KUALA LUMPUR – Lebih 2,000 peminat yoga daripada semua lapisan masyarakat dijangka berhimpun di Dataran Merdeka pada Jumaat ini bersempena Hari Yoga Antarabangsa 2018.
Presiden Persatuan Yogi Malaysia Dr I. Sivasi berkata acara itu yang dianjurkan persatuan itu, akan menyaksikan peminat yoga iaitu pelajar sekolah, melakukan ‘asanas’ (postur) asas bermula dengan ‘surya namaskaram’ (penghormatan pada matahari), senaman pernafasan dan meditasi.
“Kami mahu acara ini, yang diadakan bagi tahun keempat, membabitkan pelbagai kaum dan tiada had umur. Menerusi acara ini, kami mahu meningkatkan kesedaran tentang kebaikan yoga,” katanya kepada Bernama.
Sivasi berkata program di Dataran Merdeka itu akan bermula pada 6.30 pagi dengan pendaftaran peserta dan peserta diminta memakai pakaian sukan yang sesuai.
Menteri Wilayah Khalid Abdul Samad dijangka merasmikan acara itu. Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA) pada 11 Dis, 2014, mengisytiharkan 21 Jun sebagai Hari Yoga Antarabangsa. – BERNAMA