DUNIA Arab digemparkan oleh lawatan menteri Israel, Miri Regev ke Emiriyah Arab Bersatu (UAE) hujung minggu lalu, sekitar masa yang sama Perdana Menteri Zionis Benjamin Netanyahu melakukan lawatan rahsia ke Oman.
Menteri sukan dan kebudayaan Israel itu sempat menghadiri pertandingan judo di Abu Dhabi, menyaksikan atlet Israel memenangi satu pingat emas.
Media melaporkan seramai 11 orang atlet Israel mengambil bahagian dalam pertandingan itu.

Kejohanan itu mencatat sejarah apabila kali pertama lagu kebangsaan Israel dimainkan di UAE, dan pada masa Regev menghadiri tempat kejohanan itu diadakan.
Regev mencatat di Twitter kemudian, “kita telah mencatat sejarah. Hidup warga Israel!”
Sebelum ini, penyertaan atlet Israel dalam acara sukan di negara Teluk ditetapkan syarat simbol negara Zionis itu tidak boleh dipamerkan.

Lawatan ini menunjukkan hubungan semakin rapat negara-negara Arab dengan Israel kebelakangan ini, pada masa sama kerjasama untuk menghadapi Iran semakin rancak dirancang antara Arab Saudi, UAE dan sekutu dengan Amerika Syarikat.
Strategi berbaik dengan negara-negara Arab ini diusahakan secara aktif oleh Netanyahu, yang mahu kerjasama lebih rapat dengan negara-negara Arab untuk bersama menangani Iran dan supaya kewujudan Israel diiktiraf.
Pelbagai pihak mengecam lawatan itu, yang diadakan pada masa Israel melakukan serangan terhadap Gaza hingga mengorbankan orang awam termasuk kanak-kanak.
Dalam lawatan itu, menteri Israel itu turut melawat masjid ketiga terbesar di dunia, Masjid Ben Zayed di Abu Dhabi. – Mynewshub.tv

