KUANTAN – Seorang bakal pengantin terpaksa berputih mata selepas wang deposit yang dibayar untuk mendapatkan perkhidmatan sebuah katering terkenal lebur apabila syarikat itu dipercayai gulung tikar.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa, 23, yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta sebelum itu telah melayari laman sosial Facebook dan mencari perkhidmatan katering untuk majlis perkawinannya Mac tahun depan.
“Semasa melayari laman sosial Facebook pada Julai tahun lepas, mangsa telah tertarik dengan iklan pakej tawaran perkhidmatan katering dengan harga RM11,800.
“Ketika berurusan dengan syarikat berkenaan, mangsa diminta membuat bayaran deposit dan telah pergi ke cawangan syarikat berkenaan di sini bersama ibunya untuk membuat pembayaran deposit RM5,000 kepada syarikat itu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Menurutnya bagaimanapun, pada 18 Ogos lalu mangsa telah menyedari tentang ketidakpuasan hati pelanggan tentang perkhidmatan yang disediakan oleh syarikat itu yang tular di media sosial menyebabkannya cuba mendapatkan semula wang tersebut.
Bagaimanapun tindakan itu gagal kerana dipercayai syarikat itu telah gulung tikar dan pengurusan syarikat itu di ibu pejabat dipercayai telah melarikan diri seperti yang tular di dalam media sosial menyebabkan mangsa membuat laporan polis di IPD Kuantan kerana merasa tertipu,” katanya. – BERNAMA