KLANG – Pengaruh dan jawatan dalam kerajaan bukanlah kayu ukur sebenar bagi menilai tahap sokongan ahli parti khususnya di peringkat akar umbi bagi memilih calon timbalan presiden PKR.
Calon jawatan berkenaan yang juga Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, berkata beliau tidak menyangka menerima sokongan hebat daripada ahli PKR yang mengundinya di beberapa negeri sebelum ini.
Katanya, tanggapan awal bahawa beliau tidak mampu menyaingi lawannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi jawatan kedua tertinggi dalam PKR juga tidak tepat.
“Kalau ikut tanggapan, saya penganggur lawan menteri kanan, patutnya saya masuk kubur lama dah.
“Orang yang ada pengaruh dan jawatan itu (untuk menang mudah) dibuktikan tidak benar, apa-apa tanggapan yang ada pun kita perlu tunggu keputusannya,” katanya ketika ditemui selepas meninjau pusat pengundian PKR Cabang Kapar di Kompleks Rakan Muda, di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas dakwaan bahawa ahli akar umbi akan memilih Azmin berdasarkan jawatannya sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi serta prestasinya ketika menjadi Menteri Besar Selangor sebelum ini.
Terdahulu, Rafizi menang di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Wilayah Persekutuan manakala ahli PKR di Pulau Pinang dan Johor memilih Azmin untuk jawatan Timbalan Presiden PKR.
Dalam pada itu, Rafizi berkata bahawa keputusan undian di Selangor akan memberi gambaran lebih jelas siapa calon yang akan dipilih bagi mengisi jawatan dalam parti.
“Setakat ini persaingan itu beza lima hingga 10 undi, di negeri-negeri lain, saya ingat ia akan kekal begitu, tak mudah buat ramalan.
“Bagaimanapun, keputusan pada hari ini mungkin akan beri petanda, sebab di Selangor mempunyai ahli PKR yang paling ramai,” katanya. – BH ONLINE

