KUALA LUMPUR – Islam tidak mempunyai kaitan dengan pembunuhan wartawan, Jamal Khashoggi di bangunan Konsulat Arab Saudi di Istanbul, Turki pada 2 Oktober lalu.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, adalah malang sekiranya pembunuh kepada wartawan kelahiran Arab Saudi dan memiliki kerakyatan Amerika Syarikat itu mengaku seorang Islam.
Katanya, ini kerana Islam mengharamkan cara bunuh yang kejam walaupun bersabit hukuman mati.
“Peristiwa pembunuhan kejam terhadap wartawan, Jamal Khashoggi sangat memalukan seluruh manusia. Lebih malang kalau pelakunya mengaku Islam, jika benar dilakukan. Islam mengharamkan cara bunuh yang kejam walaupun terhadap yang disabitkan hukuman mati.
“Islam juga mengharamkan mayat diseksa walaupun musuh yang telah dibunuh dalam medan peperangan yang paling kejam terhadap penganut Islam sendiri. Apatah lagi menyeksa orang yang masih hidup,” katanya seperti dipetik dari portal Harakahdaily, hari ini.
Beliau mengulas mengenai Jamal yang disyaki dibunuh dengan kejam dan ganas pada 2 Oktober lalu.
Malah, semalam, Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan menegaskan pihaknya mendapati ada petunjuk kuat bahawa pembunuhan Jamal adalah dirancang. – UTUSAN ONLINE