KANGAR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perlis menahan sebuah bot tempatan dan merampas 1,400 liter diesel yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran pada jarak kira-kira dua batu nautika berhampiran pantai Kuala Perlis, dekat sini awal hari ini.
Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis Komander Maritim Nurulazme Zakariah berkata pada 4.45 pagi tadi, sebuah bot peronda digerakkan untuk membuat pemantauan di pesisir pantai Kuala Perlis setelah mendapat maklumat mengenai aktiviti penyeludupan diesel oleh bot nelayan tempatan.
Katanya, APMM kemudian mengesan sebuah bot nelayan tempatan kelas A yang mencurigakan sedang menuju ke perairan Thailand dan bot peronda berjaya memintas serta menahan bot tersebut untuk membuat pemeriksaan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati bot itu dikendalikan warga Thailand dan petak ikan dalam bot itu telah diubah suai untuk dijadikan tangki dan terdapat juga dua tong dram serta tiga tong kecil berisi 1,400 liter diesel yang bernilai kira-kira RM2,310,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata awak-awak dan tekong warga Thailand yang masing-masing berumur 55 dan 62 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana mengubah suai vesel tanpa kebenaran dan melanggar syarat lesen, katanya. – BERNAMA

