BONGKAR… Di sebalik pelbagai teori cuba diketengahkan mengenai bencana alam di kota Palu, Sulawesi, Indonesia baru-baru ini, seorang penceramah terkenal tempatan ada hujah tersendiri.
Beliau malahan percaya kejadian tragik itu sebagai peringatan Allah SWT selepas penduduk di bandar tersebut yang dikatakan berulang kali melakukan amalan maksiat termasuk pesta pemujaan berunsur syirik secara terbuka.
Sehubungan itu, Ahmad Dusuki Abd. Rani yang melihat sendiri kemusnahan di kota berkenaan selepas bencana yang mengorbankan ribuan nyawa mengingatkan supaya umat Islam negara ini agar tidak berasa terlalu selesa.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Selangor berpandangan, kemusnahan kota itu bukan berlaku secara tiba-tiba, sebaliknya telah diberi ‘peringatan’ terlebih dahulu ekoran sikap alpa penduduk dengan duniawi.
“Mereka (penduduk) pernah menghidupkan kembali ritual pesta pemujaan dengan merodok kambing, lembu dan dicampak ke laut pada 2016. Maka berlaku hujan lebat sebagai ‘iktibar’ tetapi mereka masih tidak ambil peduli.
“Pada 2017, mereka buat lagi dan ribut kencang serta petir sambar-menyambar, tetapi tidak diambil iktibar. Tahun ini, mereka ulang dan berlakulah bencana,” katanya berceramah di Masjid Negeri Shah Alam, Selangor, kelmarin.
Menceritakan suasana di beberapa kawasan di Palu, Ahmad Dusuki menyifatkan ibu kota wilayah Sulawesi Tengah itu musnah teruk akibat tiga bentuk bencana yang berlaku berturutan iaitu gempa bumi, tsunami dan banjir lumpur.
Beliau juga ketika berada di situ masih terdengar suara mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan bangunan cuba memanggil penyelamat, namun tiada apa dapat dilakukan kerana kekangan jentera untuk angkat blok-blok binaan.
“Apa yang hairannya, ada kawasan runtuh musnah, ada pula yang tidak. Ada sebuah pasar raya runtuh, tetapi rumah kedai di sebelahnya dalam keadaan baik. Di sebuah perkampungan Balaroa, habis musnah.
“Bangunan runtuh, tanahnya seperti dikisar, banyak nyawa terkorban tetapi kawasan sebelahnya langsung tidak terkesan, rekahan pun tiada,” jelas beliau mengimbau pengalaman sewaktu menyertai misi kemanusiaan di sana.
Situasi itu ujar Ahmad Dusuki sebagai peringatan daripada Allah kepada manusia bahawa kalau terus melakukan sesuatu ditegah, dalam sekelip mata sahaja segala kenikmatan dikecapi boleh hilang. – Agensi/Mynewshub.TV