WASHINGTON – Kanada mungkin menghalalkan ganja rekreasi semalam, namun ahli perniagaan industri semakin berkembang itu perlu sedar mereka tidak dialu-alukan di selatan sempadan di Amerika Syarikat (AS).
Ketika negara ekonomi terbesar dunia itu membenarkan sepenuhnya penggunaan ganja, pihak berkuasa Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP) memberi amaran, mereka tidak membenarkan sesiapa yang masuk dengan hasrat ‘membantu mengembangkan perniagaan ganja’ di AS.
Malah, jika sesetengah negeri dan kerajaan tempatan di AS termasuk ibu kota ini, membenarkan penggunaan ganja dari segi perubatan atau rekreasi, CBP memberi amaran, bahan itu masih dianggap haram mengikut undang-undang persekutuan negara itu.
“Jika seorang rakyat Kanada datang ke AS dan ia tiada kena mengena dengan industri ganja atau perkembangan industri berkenaan, individu itu secara umumnya dibenarkan masuk.
“Namun jika mereka datang ke AS dengan hasrat membantu atau membangunkan industri ganja, mereka akan dilarang,” kata pegawai CBP, Christopher Perry dalam sidang media di Detroit, Michigan, berhampiran sempadan Kanada.
Pendirian itu memberi ancaman baharu terhadap pertukaran besar-besaran merentasi sempadan terdiri daripada bekalan, teknologi dan pelaburan dalam sektor ganja.
Syarikat Kanada sudah meminjamkan pembiayaan dan kepakaran kepada syarikat ganja AS di lapan negeri seperti Colorado, California dan Maine di mana penggunaan rekreasi dibenarkan dan kira-kira 30 lain memiliki permit perubatan.
Lebih-lebih lagi, saham dalam sejumlah firma ganja Kanada didagangkan di pasaran saham AS termasuk yang terbesar, Canopy Growth Corporation, disenaraikan dalam Pasaran Saham New York. – AFP