BERJIWA BESAR… Setelah enam bulan bongkar rahsia jentera fitnah DAP dalam kempen politik tanah air, Amran Ahmad akhirnya berjaya dipecat daripada parti itu berkuat-kuasa, semalam.
Anak kepada bekas Naib Presiden DAP, Ahmad Nor itu bagaimanapun berkata, beliau sudah lama menjangkakan pemecatannya itu selepas tindakannya selama ini yang tidak selari dengan perjuangan sempit parti tersebut.
Justeru kata bekas wartawan Utusan Malaysia dan Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan cawangan Utusan Melayu itu, beliau tidak akan membuat rayuan kerana aspirasi DAP sudah tersasar daripada landasan sebenar.
“Saya menerima keputusan DAP itu dengan berlapang dada, sejajar dengan jangkaan dan memutuskan untuk tidak merayu atas sebab-sebab yang akan saya huraikan,” kata Amran, 40, melalui kenyataan media, hari ini.
Amran yang sertai DAP sekitar 2009 setelah dipanggil ‘otai’ parti itu, Lim Kit Siang berkata, beliau dipecat kerana lantang kritik DAP sebarkan fitnah serta melakukan propaganda jahat sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
“Dengan penerimaan surat pemecatan itu, saya beranggapan, selain keahlian dalam parti selama hampir 10 tahun itu ditamatkan, saya juga ‘kehilangan’ jawatan Timbalan Pengerusi Biro Buruh DAP. Apakah salah saya?
“Hanya kerana tegak kebenaran dan kritik tindakan salah parti atas nama demokrasi yang konon menjadi tunjang perjuangan DAP. Saya menganggap bahawa tindakan pemecatan saya dari DAP ini sebagai suatu pengkhianatan.
“Ia tindakan tidak kenang jasa dan pengorbanan dua generasi orang Melayu dalam DAP setelah arwah bapa saya, Allahyarham Ahmad Nor menyertai DAP pada 1986 dan ahli Parlimen Melayu yang pertama dari DAP,” katanya.
Beliau yang pernah berkhidmat sebagai Penolong Penerbit Ubah TV milik DAP untuk hasut rakyat benci Barisan Nasional dengan pelbagai dakyah jahat itu turut sindir parti berkenaan kerana jual prinsip perjuangan dan maruah.
“Ia dilakukan semata-mata kerana kuasa dan jawatan – sebagai contoh lima tahun yang lalu, DAP kata Tun Mahathir Mohamad sebagai bapa perompak negara tetapi hari ini menyembah beliau saban hari,” katanya dalam nada sinis.
Mengulas lanjut, Amran berkata, biarpun dipecat menerusi surat ditandatangani Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP, Chong Chieng Jen, perjuangannya bagi menjadikan Malaysia negara yang lebih baik akan tetap diteruskan.
“Saya bersedia tidak pandang ke belakang lagi dan terus perjuangan menjadikan Malaysia negara lebih baik atas platform lain dengan tekad – Biar mati berdiri, daripada hidup melutut kepada parti cauvinis sangat perkauman ini.
“Semoga apa yang menimpa saya ini bakal membuka mata rakyat negara ini terutama orang Melayu yang mungkin ada menyimpan hasrat untuk berjinak-jinak dengan DAP,” jelas Amran. – Agensi/Mynewshub.TV