ASTANA (Kazakhstan) – Kongres ke-6 Pemimpin Dunia dan Agama Tradisional yang berakhir pada 11 Okt menyaksikan para pemimpin agama menerima pakai satu deklarasi berkaitan peranan agama dalam konteks moden.
Deklarasi itu, antara lain, menjanjikan pembabitan para pemimpin dunia dan agama tradisional dalam mencapai kestabilan jangka panjang serta mencegah insiden ganas yang dicetuskan oleh kebencian dan sikap tidak bertoleransi.
“(Kami komited) untuk menghulurkan segala bantuan yang termampu kepada semua masyarakat dan penduduk, tanpa mengira bangsa, agama, kepercayaan, bahasa serta jantina bagi memastikan hak tidak terpisah untuk menikmati kehidupan yang aman,” katanya.
Pemimpin terbabit turut berikrar untuk menyokong usaha-usaha penyelesaian segera dan konflik ketenteraan serta mengelak pertumpahan darah di pelbagai rantau di seluruh dunia.
“Kami menzahirkan solidariti dengan semua kumpulan agama dan komuniti etnik yang terdedah kepada kekerasan serta keganasan yang dicetus oleh kumpulan pelampau dan pengganas,” menurut deklarasi itu.
Ia turut mengutuk sekeras-kerasnya pencabulan hak asasi manusia dan pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa secara berterusan oleh organisasi pengganas antarabangsa yang serius, sistematik serta besar-besaran.
“Agama akan memainkan peranan sebagai pembina keamanan,” kata Dmitry Safonov, setiausaha eksekutif Majlis Antara Kepercayaan Rusia.
Deklarasi itu turut menolak semua bentuk manipulasi agama dalam konflik politik dan kepunyaan negara, serta tuntutan eksklusif.
Mengulas isu serupa, Mufti Tajikistan, Saidmukarram Abduqodirzoda berkata Islam percaya sekuriti dan keselamatan adalah elemen hak-hak asasi manusia.
Oleh itu, dunia tidak seharusnya keliru antara Islam dan keganasan.
“Agama kami adalah agama yang cintakan kedamaian dan mengamalkan sikap toleransi. Kami tidak memaafkan mereka yang merampas agama untuk melakukan tindakan keganasan dan ekstremisme,” katanya.
Dalam deklarasi itu, para pemimpin agama turut berikrar untuk menyatakan sokongan mereka kepada perlindungan pelarian.
“Kami komited untuk menyokong segala usaha yang bertujuan melindungi pelarian, hak serta maruah mereka selain menyalurkan bantuan yang diperlukan,” katanya.
Kongres keenam itu berlangsung di Astana, ibu negara Kazakhstan, dari 10 hingga 11 Okt.
Bertema ‘Religious Leaders for a Secure World’, acara itu dianjurkan di bawah naungan Presiden Kazakhstan, Nursultan Nazarbayev.
Tahun ini, kongres itu menyaksikan penyertaan lebih 80 perwakilan dari 46 negara. Mereka termasuk ahli politik dan pemimpin agama terkenal selain wakil organisasi awam, agama dan antarabangsa seperti Perikatan Peradaban PBB, UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) dan Liga Negara-Negara Arab.
Antaranya ialah Presiden Republik Serbia, Aleksandar Vujicic; Imam Besar al-Azhar, Sheikh Ahmed el-Tayeb; Teofilus III dari Baitulmaqdis; Kardinal Francesco Coccopalmerio dan Ketua Rabai Sephardic Israel, Yitzhak Yose.
Astana menjadi tuan rumah pertama Kongres Pemimpin Dunia dan Agama Tradisional pada 2003.
Dalam tempoh 15 tahun, kongres itu telah menjadi satu platform penting bagi membincangkan hubungan-hubungan antara kepercayaan dan antara agama.
Acara tahun ini menyaksikan peningkatan jumlah perwakilan dan negara yang mengambil bahagian, satu testimoni kepada keberkesanan dialog itu.
“Ini merupakan proses yang berlaku secara beransur-ansur. Perwakilan pada acara sulung tidak bersetuju dengan banyak isu. Sejak itu, situasi menjadi semakin baik, dengan lebih ramai mencapai kata sepakat. Kebanyakannya bercakap tentang keamanan dan kerjasama.
“Ini adalah satu kejayaan besar, memandangkan para perwakilan mewakili agama dan kepercayaan yang berbeza. Sukar untuk membayang mereka boleh duduk bersama pada 2003, dan hari ini, ia telah membuktikan bahawa segalanya boleh berlaku,” kata Timbalan Menteri Luar Kazakhstan, Yerzhan Ashikbayev, seperti yang dipetik oleh Astana Times.
Deklarasi itu turut menggesa semua kerajaan memperbaharui usaha mereka untuk berganding bahu dengan golongan belia bagi mencegah radikalisasi.
Mengulas lanjut perkara ini, Ashikbayev berkata pendidikan harus berteraskan agama, sikap toleransi dan menghormati nilai-nilai keluarga.
“Bagi mencegah radikalisasi golongan belia, kembalikan agama kepada tujuan asalnya dan jangan mengelirukan mereka dengan mesej-mesej daripada pihak radikal,” katanya.
Kongres itu telah menjadi pemangkin bagi usaha-usaha serupa.
Tidak lama selepas kongres itu berakhir, Pusat Antarabangsa Interaktif dan Interbudaya Antarabangsa Raja Abdullah bin Abdulaziz (KAICIID) yang berpangkalan di Vienna, Austria telah menandatangani satu perjanjian dengan Pusat Antarabangsa Budaya dan Agama Kazakhstan bagi kerjasama dalam dialog antara agama dan antara budaya.
Diterjemah dan disunting oleh Sabarina Baharom.- BERNAMA