PULAU PINANG – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) negeri menggesa supaya undang-undang dan peraturan berkaitan penjualan arak dipinda serta diperketat supaya tidak dijual secara terbuka dan mudah diakses seperti di kedai serbaneka atau pasar raya.
Ketua Penerangannya, Syed Mikael Rizal Aidid berkata, Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri menerusi pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh melaksanakan perkara itu dengan memastikan penjualan arak hanya dibuat di kedai atau premis menjual arak.
Menurut beliau, perkara itu boleh mengelak daripada berlakunya konflik agama seperti yang tercetus dalam insiden membabitkan seorang wanita yang enggan menguruskan pembelian arak di sebuah kedai serbaneka baru-baru ini.
Katanya, penjualan arak seharusnya diperketatkan kerana adalah jelas semua agama khususnya Islam menolak pengambilan alkohol dalam kehidupan kerana boleh memporak-perandakan keluarga dan masyarakat.
“Kita juga menyeru semua pertubuhan berasaskan agama yang pelbagai di negara ini sama-sama tampil mengeluarkan kenyataan menggesa kerajaan memperketatkan penjualan arak hanya di premis arak demi menjaga keharmonian hidup beragama,” kataya. – UTUSAN ONLINE
