KUALA LUMPUR – Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman hari ini berkenan menyempurnakan Majlis Pelancaran Yayasan Jantung Penyayang di Institut Jantung Negara (IJN) di sini.
Pengerusi Yayasan Jantung Penyayang, Muhammad Hisham Iskandar Muhammad berkata, yayasan tersebut menyasarkan untuk penyediaan dana sebanyak RM3 juta bagi tahun 2019 untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik atau kurang berkemampuan untuk menjalani prosedur rawatan jantung.
“Selain itu juga, Yayasan Jantung Penyayang menyediakan perkhidmatan kumpulan sokongan dari segi kaunseling kepada pesakit dalam menjalani prosedur rawatan jantung.
“Yayasan ini juga bekerjasama dengan institusi-institusi kesihatan yang lain dengan memberikan tumpuan kepada beberapa bahagian penting iaitu penyelidikan, pendidikan awam, pendidikan profesional dan pemulihan bagi merealisasikan matlamat serta memperkenalkannya kepada umum,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian di sini hari ini.
Tengku Permaisuri Norashikin yang menyempurnakan majlis perasmian itu merupakan penaung kepada Yayasan Jantung Penyayang. – UTUSAN ONLINE

