KUALA LUMPUR – Naib Presiden Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata sudah terlambat untuk MCA berperanan sebagai ejen untuk membuat semakan dan imbangan sedangkan mereka berpeluang tetapi gagal berbuat demikian semasa parti itu berada di dalam kerajaan sebelum ini.
Beliau berkata MCA hanya mendiamkan diri apabila bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terpalit dengan skandal syarikat pelaburan strategik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN).
“Sekarang baru (MCA) mahu ‘check and balance’(semak dan imbang), dah terlambat…kita mesti tolak MCA dan BN pada pilihan raya kecil (PRK), katanya kepada ratusan hadirin pada ceramah ‘Grand Finale’ PH di Balakong, dekat sini malam ini menjelang PRK DUN Balakong esok.
Azmin, yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan Timbalan Presiden PKR, menjelaskan bahawa di bawah pemerintahan kerajaan baharu yang telus, ramai pelabur asing menunjukkan minat untuk melabur dalam negara.
“Mereka melihat ada ada harapan untuk letakkan pelaburan di sini kerana kita jamin kerajaan lebih telus dan tak curi duit rakyat…pelaburan asing ini akan menjamin peluang pekerjaan lebih tinggi dan menjana ekonomi lebih makmur, ” katanya.
PKR Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong perlu menjadi platform bagi rakyat untuk menghantar mesej jelas kepada MCA dan BN bahawa mereka tidak lagi relevan dan diterima untuk mewakili rakyat, katanya.
Ketua Penerangan PH, Tony Pua menegaskan bahawa MCA dan BN perlu dihukum kerana disebabkan kerajaan terdahulu, negara kini menghadapi jumlah hutang yang tinggi.
“Negara akan habis jika PH tidak berjaya menumbangkan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Kalau kita nak beri peluang kepada MCA, logik memang ada untuk kuatkan pembangkang di negeri Selangor menjadi ejen semak dan imbang.
“Tetapi adakah MCA sudah insaf adakah BN sudah insaf, kesalahan mereka lakukan berpuluh tahun lalu. Pernahkan MCA memohon maaf dari rakyat?,” katanya.
Turut berucap ialah Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang juga Menteri Kewangan dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
PRK berkenaan yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chie dalam satu kemalangan jalan raya 20 Julai lepas menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon PH, Wong Siew Ki dan calon MCA Tan Chee Teong.
Sementara itu Kit Siang mencabar calon MCA itu untuk menarik diri daripada PRK esok untuk memberi laluan kepada Wong.
“Mereka jelas sudah tidak berintegriti, sekarang sudah kerjasama dengan PAS, sudah beri PAS naik pentas mereka, ternyata mereka ini penipu.
“Tolak sekuat-kuatnya parti menipu rakyat ini dan bagi laluan kepada calon kami untuk berkhidmat kepada anda,” katanya.
Pada PRU14, 9 Mei lalu, Ng menewaskan calon BN, Lim Chin Wah dan Mohamad Ibrahim Ghazali (PAS), dengan majoriti 35,538 undi. – BERNAMA