ALOR SETAR – Sepasang suami isteri hanya sempat bergembira enam jam dengan hasil samun terhadap seorang wanita warga emas berusia 70 tahun sebelum ditangkap polis di sebuah hotel di sini, semalam.
Dalam kejadian pada kira-kira pukul 6 pagi itu, suspek berusia 35 dan 40 tahun itu telah datang ke kedai makan milik mangsa untuk menjual tong gas namun wanita tersebut telah menolak tawaran tersebut.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd. Rozi Jidin berkata, kedua-dua suspek kemudian meluru masuk ke dalam kedai dan lelaki berkenaan bertindak mengacu pisau ke leher mangsa.
“Suspek wanita itu pula bertindak mengambil wang tunai sebanyak RM250, sebuah telefon bimbit dan kunci kereta. Pasangan suami isteri tersebut kemudian melarikan diri dengan kereta Myvi warna perak milik mangsa yang diletakkan di hadapan kedai berkenaan.
“Mangsa yang trauma dengan kejadian tersebut telah membuat laporan polis sebelum sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar menjalankan operasi mengesan suspek,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Mohd. Rozi, kedua-dua suspek kemudian dikesan bersembunyi di sebuah hotel di sini pada kira-kira 11.45 pagi.
“Hasil pemeriksaan yang dilakukan, kita telah menjumpai bekas kecil mengandungi tiga bungkusan plastik lutsinar dipercayai dadah heroin seberat 3.2 gram. Ujian urin mendapati kedua-duanya positif dadah.
“Kita akan mendapatkan reman hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. Kereta milik mangsa telah dijumpai semula,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE
