BANGI – Persiapan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong esok berjalan lancar dengan beberapa proses pemeriksaan akhir dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini.
Setiausaha SPR Datuk Mohamed Elias Abu Bakar berkata antara yang dilakukan adalah penyemakan peralatan seperti peti undi, kertas undi dan borang berkaitan di Dewan Utama Demense, Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat, di sini, sebelum dibawa ke pusat-pusat mengundi.
“Hari ini kita semak semua peralatan yang kita akan bekalkan supaya tidak ada satu pun yang tertinggal. Jadi mereka yang bertugas esok boleh melaksanakan tugas dengan lancar tanpa sebarang gangguan seperti barang tidak cukup dan sebagainya.
“Selepas ini para petugas akan pergi ke pusat-pusat mengundi masing-masing bagi melihat persiapan di pusat mengundi yang mana mereka akan menyusun atur setiap saluran mengikut panduan yang kita beri kepada setiap ketua tempat mengundi,” katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan terakhir bagi PRK Balakong di Dewan Utama Demense, Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat, di sini, hari ini.
Beliau berkata seramai 1,001 pegawai dan petugas termasuk anggota polis akan bertugas bagi memastikan kelancaran pilihan raya kecil itu yang melibatkan 16 pusat mengundi dan 128 saluran bagi 62,188 pemilih biasa DUN itu.
Mohamed Elias menasihatkan para pengundi supaya menyemak pusat mengundi masing-masing dengan lebih awal bagi memudahkan proses pengundian dan keluar menunaikan tanggungjawab mereka.
“SPR telah mengambil banyak tindakan untuk membuat hebahan dengan seluas-luasnya melalui media massa, media cetak dan media sosial untuk menyeru pengundi-pengundi keluar menjalankan tanggungjawab demokrasi mereka,” katanya.
SPR menetapkan sasaran 70 peratus keluar mengundi pada pilihan raya kecil itu esok.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof ketika dihubungi berkata seramai 612 pegawai dan anggota polis akan bertugas esok.
Jumlah itu termasuk 246 pegawai dan anggota yang akan ditempatkan di seluruh pusat mengundi, serta lapan pasukan Unit Tindakan Ringan bagi memastikan kelancaran PRK itu.
PRK Balakong, yang menyaksikan calon Pakatan Harapan Wong Siew Ki berhadapan calon MCA Tan Chee Teong, diadakan berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chie dalam kemalangan jalan raya pada 20 Julai lepas. – BERNAMA