LONDON – Pemain tengah England, James Milner berjenaka apabila mengatakan anugerah Puskas yang dimenangi Mohamed Salah adalah gol ketujuh terbaiknya bersama Liverpool musim lalu.
Penyerang Mesir, Salah menerima anugerah Puskas bagi gol tercantik pada Anugerah Bola sepak Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) 2018 menerusi jaringannya ketika menentang Everton pada kempen Liga Perdana Inggeris musim lalu.
Rembatan lencong Salah dari tepi padang pada Disember tahun lalu ketika aksi tetangga Merseyside menyingkirkan beberapa lagi gol termasuk pilihan ramai daripada Cristiano Ronaldo dan Gareth Bale.
Keputusan itu mencetus pelbagai reaksi tetapi Milner pantas mempertahankan rakan sepasukannya di Anfield itu.
“Tahniah Mohamed Salah atas gol ketujuh terbaiknya musim lalu yang memenangi anugerah gol terbaik tahunan #baller #topbin #oneofmanyworldies,” tulis Milner di Twitter.
Salah meledak 44 gol dalam semua pertandingan bersama Liverpool musim lalu dengan 32 daripadanya hadir di Liga Perdana.
Sekalipun berjaya mengungguli satu anugerah, Salah tidak tersenarai dalam pasukan terbaik dunia FIFPro yang turut diisi Ronaldo, Kylian Mbappe, Eden Hazard dan Lionel Messi walaupun namanya disenarai pendek bagi anugerah Pemain Terbaik Dunia. – Agensi

