UNIK… Akhirnya setelah sekian lama, sebuah laman pemotoran tempatan, Funtasticko.net tampil dedah imej Proton Perdana versi baharu model facelift (FL) atau perubahan muka lebih ketara.
Menurut pentadbir laman automotif berkenaan, imej tiga dimensi atau 3D secara penuh dengan konsep 2018 tersebut disumbangkan oleh sumber yang dikenali Saharudin Busri atau mesra disapa sebagai Wak baru-baru ini.
Variasi baharu generasi ketiga keluaran Proton itu pada asalnya hanya dipaparkan beberapa hari selepas Hari Raya Aidilfitri lalu bagi ganti model sebelum ini yang berasaskan kepada Honda Accord generasi kelapan dari Jepun.
Sekali pandang, penulis laman itu mendakwa ia seumpama model Mercedes-Benz dari Jerman atau KIA Stinger dari Korea Selatan terutama pandangan arah depan yang meliputi bentuk lampu utama, jeriji dan bampar hadapan.
Ia telah direka bentuk semula dengan lebih perincian supaya kelihatan seperti sebuah kereta sedan mewah buatan Eropah. Jeriji utamanya malahan lebih besar sekali gus menampakkan kegarangan model sedan segmen-D ini.

“Kami cukup tertarik pada sayap Proton versi baharu yang kelihatan seperti hulu keris sedang memegang lambang Proton di tengahnya. Lampu hadapannya kini dilengkapi dengan jalur LED,” kata penulis ulasan kereta tersebut.
Ia sebenarnya berfungsi sebagai lampu nyalaan siang manakala pada sisi kiri dan kanan bampar hadapannya juga kelihatan tiga lapis susunan LED yang berfungsi sebagai lampu kabus. Bampar hadapan nampak lebih maskulin.
Ini kerana ia mengandungi ‘permainan’ dua-tona warna. Sementara di bahagian sisi, masih kekal profil asal model generasi kedua Proton Perdana dengan ubah suai bentuk bucu tingkap kecil di bahagian tiang D supaya lebih tajam.
Lebih menarik, ia diperhalusi dengan kemasan krom pada bahagian bingkai bawah tingkap untuk menyerlahkan kemewahannya. Selain itu, sirip kemasukan udara juga ditambah pada bahagian bucu atas gerbang tayar hadapan.
Model konsep ini juga diberi skirting dua tona di bahagian sisi. Rim aloi turut ada sentuhan rekaan baharu dengan gabungan kemasan krom dan hitam. Di belakang, lampu asal model semasa Perdana juga direka bentuk semula.

Lampu belakang model konsep ini bersambung dan membentuk satu jalur melintang panjang dan dihiasi pula dengan sedikit kemasan krom di tengahnya. Sekali imbas ia seperti model generasi baharu Hyundai Grandeur.
Ada kala ia tampak seperti model Audi. Bampar belakang juga direka dengan cukup baik, lebih kemas dan ringkas sekali gus melengkapkan rupa keseluruhan model ini berbanding bentuk tipikal Proton Perdana selama ini.
Kehadiran corong ekzos berkembar di bahagian diffuser sudah cukup beri gambaran bahwa model ini berprestasi tinggi. Foto Proton Perdana FL konsep 2018 di tepi esplanade waktu senja nampak cukup anggun dan bergaya.
Bagaimanapun jangan pula terkejut jika diberitahu ia hanyalah sebuah imej 3D dan sudah pasti ramai yang percaya model ini konon sememangnya wujud di alam nyata kan? Apa pendapat anda mengenai hasil karya Saharudin ini?
Untuk rekod, model Perdana generasi pertama mula dikeluarkan Proton pada 1995 sebelum tiga kali mengalami FL iaitu 1998, 2003 dan 2005 sebelum generasi kedua pula bermula 2013 dan FL sekali pada 2016. – Mynewshub.TV

