BUKIT MERTAJAM – Parti Rakyat Malaysia (PRM) mengumumkan akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil ( PRK) Port Dickson 13 Oktober depan namun masih belum memuktamadkan calonnya.
Presidennya, Mohd. Hashim Saaludin berkata, setakat ini tiga nama termasuk beliau sendiri telah disenarai pendek namun kata putus hanya akan dicapai selepas mensyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat parti itu dalam masa terdekat.
Menurutnya, PRM mengambil keputusan untuk beratnding selepas kecewa dengan prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang didakwa gagal menunaikan janji manifesto pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.
“Setakat ini, kita sudah menyenarai pendek tiga calon bagaimanapun pengumuman calon yang akan bertanding hanya akan diputuskan selepas mesyuarat di adakan dalam tempoh terdekat.
“Selepas PH menjadi kerajaan pusat, keadaan ekonomi tidak satbil dan banyak janji hanya tinggal janji termasuk manifesto pilihan raya mereka. UMNO juga gagal menjadi pembangkang yang kuat buat masa ini,” katanya dalam sidang akhbar dekat Perai di sini hari ini.
Tambahnya, soal kalah atau menang bukanlah keutamaan mereka tetapi yang paling utama adalah PRM mampu menyuarakan masalah rakyat ke peringkat lebih tinggi.
PRK Parlimen Port Dickson diadakan selepas penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, mengosongkan kerusi berkenaan bagi membolehkan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.
Pada PRU-14 lalu, Danyal Balagopal memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada Pas. – UTUSAN ONLINE