PETALING JAYA – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia Halimey Abu Bakar bersedia mengisytiharkan aset miliknya, jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meminta beliau berbuat demikian.
“Saya terima pandangan mereka (PAS dan UMNO Selangor). Saya bersedia untuk isytihar harta tetapi akan berbincang dengan kepimpinan, tiada masalah bagi saya,” katanya pada sidang media ketika hari terakhir kempen, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai gesaan pimpinan PAS dan UMNO Selangor supaya beliau mengisytiharkan aset sebelum hari mengundi seperti dilakukan calon PAS Dr Halimah Ali, semalam.
Mengulas lanjut, katanya tindakan pengisytiharan tersebut seharusnya disarankan lebih awal dan bukannya pada saat-saat akhir kempen yang memakan masa 21 hari itu.
Dalam pada itu, katanya beliau akan memastikan bahawa Pusat Khidmat Seri Setia di Bilik Gerakan Utama PH di sini, berfungsi dengan lebih baik serta teratur jika diberi mandat sebagai wakil rakyat.
Esok, bekas anggota Majlis Bandaraya Petaling Jaya itu berdepan pertandingan satu lawan satu menentang Dr Halimah dalam PRK tersebut yang diadakan susulan kematian penyandang kerusi DUN Seri Setia Prof Dr Shaharuddin Badaruddin akibat kanser usus, 2 Ogos lepas. – BERNAMA