PETALING JAYA – Halimey Abu Bakar, calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, hari ini menunaikan tanggungjawab mengundi di Sekolah Kebangsaan Kampung Lindungan, Jalan PJS 10/11 di sini.
Bekas Anggota Majlis Bandaraya Petaling Jaya itu, anak kelahiran Kampung Lindungan, tiba di sekolah berkenaan pada pukul 8.40 pagi dengan ditemani isteri Suhati Bakri, ibu Khalijah Md Yusuf dan adik lelakinya, Salimey.
Ibu dan adiknya mengundi di pusat pengundian sama, manakala isteri beliau mengundi di Dewan Serbaguna Taman Dato’ Hormat, PJS 10/34 di sini.
Pusat pengundian di SK Kampung Lindungan dan Dewan Serbaguna Taman Dato’ Hormat itu antara 18 pusat mengundi yang dibuka mulai 8.00 pagi ini bagi membolehkan 50,692 pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka.
Selasa lepas, sebanyak 77 peratus daripada 2,770 pengundi awal terdiri daripada anggota tentera dan pasangan serta anggota polis menunaikan tanggungjawab mengundi di pusat pengundian Dewan Serbaguna Ababil Pangkalan Udara Subang dan Kompleks SMS PDRM, Shah Alam.
PRK itu menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Halimey dan calon PAS Dr Halimah Ali yang juga bekas anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor. PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos akibat kanser usus.
Halimey, 46, ketika ditemui pemberita meminta pengundi Seri Setia untuk keluar mengundi awal kerana bimbang dengan cuaca yang diramalkan hujan pada sebelah pagi oleh Jabatan Meteorologi.
Ibu calon itu, Khalijah, 70, pula berkata beliau tidak dapat tidur semalaman kerana tidak sabar menunggu hari ini untuk mengundi dan bersyukur kerana perjalanan ke tempat mengundi serta proses mengundi berjalan dengan lancar setakat ini.
Dalam pada itu, kehadiran seorang pengundi menaiki kerusi roda elektrik mencuri perhatian.
Saad Morad, 65, meskipun lumpuh di sebelah badan akibat strok, tetap komited untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
“Selepas sembahyang subuh, saya sudah bersiap-siap awal ke SK Kampung Lindungan untuk mengundi,” katanya yang turut memandu sendiri kerusi roda elektrik itu meskipun kekurangan upaya fizikal.
Sementara itu, calon PAS Dr Halimah menyeru kepada semua pengundi untuk pergi mengundi terutama golongan muda agar sasaran peratusan mengundi yang ditetapkan olehnya iaitu melebihi 60 peratus akan tercapai.
“Anda semua (pengundi DUN Seri Setia) adalah wira dan wirawati yang akan melakarkan sejarah penting di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail (TTDI) Jaya di sini.
Bagaimanapun, Dr Halimah tidak mengundi di Seri Setia kerana beliau pengundi berdaftar di Selat Kelang.
Menurut calon PAS itu, banyak cuti umum sebelum, semasa dan selepas hari pengundian berkemungkinan menjadi faktor tidak ramai pengundi pergi mengundi, namun beliau berharap penduduk Seri Setia merancang percutian masing-masing selepas menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi hari ini. – BERNAMA