TULAR… Pejabat Peguam Negara (AG) di Putrajaya digesa segera menjelaskan status pengampunan penuh yang diberikan secara misteri kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Permintaan tersebut dibuat melalui sepucuk surat terbuka yang dikirimkan oleh individu tidak dikenali kepada Pejabat AG sehingga tular menerusi aplikasi WhatsApp, sejak kelmarin.
Melalui surat bertarikh 19 September itu, individu tersebut meminta pejabat AG memperjelaskan mengenai pengampunan penuh yang diberikan kepada Anwar oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.
“Sebagai warganegara Malaysia yang prihatin, saya inginkan penjelasan daripada pejabat anda mengenai status yang diberikan kepada Anwar oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Adalah lebih baik jika pejabat anda dapat menjelaskan adakah Anwar memang diberi komutasi atau pengampunan oleh Lembaga Pengampunan,” kata individu itu merujuk status tokoh PKR itu sebagai bekas banduan.
Tambahnya, mengikut peraturan 48(1)(a), seseorang warganegara akan dibatalkan kelayakan daripada menjadi Ahli Parlimen jika telah dijatuhi hukuman penjara sekurang-kurangnya satu tahun dan tidak mendapat pengampunan.
Sebelum ini, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad turut mempersoalkan prinsip dan asas diguna pakai bagi membolehkan Lembaga Pengampunan memberi pengampunan kepada Anwar.
Katanya, hal ini kerana Anwar disabitkan dengan satu kesalahan jenayah kelihatan mahu diampunkan semata-mata bagi membolehkan beliau bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) dan kemudian menjadi ahli Parlimen.
Anwar akan bertanding pada PRK Port Dickson dijadualkan 13 Oktober depan bagi membolehkan beliau kembali ke Parlimen sekali gus menunggu menjadi Perdana Menteri Kelapan menggantikan Tun Dr. Mahathir Mohamed.
Peletakan jawatan serta-merta Datuk Danyal Balagopal Abdullah sebagai Ahli Parlimen Port Dickson untuk beri laluan kepada Anwar itu turut dapat kritikan pelbagai pihak kerana merasakan ia satu tindakan yang membazir.
PRK yang menelan belanja RM3.6 juta itu dirasakan tidak adil kerana diadakan hanya bagi merealisasikan impian Anwar menjadi Perdana Menteri dan bukan alasan kukuh seperti kematian penyandangnya. – Mynewshub.TV

