PORT DICKSON – Seawal pagi tadi, calon wanita tunggal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson Lau Seck Yan sudah berada di pasar Lukut, dekat sini untuk bertemu peniaga dan masyarakat setempat.
Lau, 57, memilih pendekatan bersemuka untuk memulakan kempen hari pertamanya hari ini dan kelihatan santai berbual dan beramah mesra pengunjung pasar sebelum ke kawasan perumahan berhampiran.
Bekas pensyarah sebuah universiti swasta itu yang merupakan antara lima calon Bebas yang akan bertanding merebut kerusi Parlimen kawasan itu, kemudian melakukan tinjauan mesra di sekitar pekan Lukut bagi memperkenalkan dirinya.
“Saya berkunjung ke pasar, kedai-kedai, pasaraya, kawasan taman perumahan, kawasan ibadat dan lain-lain semata-mata mahu mendengar sendiri apa masalah yang membelenggu mereka yang mungkin boleh saya suarakan sekiranya mendapat mandat.
“Apa yang saya dapat janjikan ialah perkhidmatan saya kepada rakyat yang tidak akan saya kompromi,” katanya kepada pemberita, di sini.
Memilih logo arnab sebagai lambang rasmi dirinya dalam PRK itu, Lau menyifatkan dirinya mudah didampingi dan bersedia mendengar masalah yang dihadapi masyarakat setempat.
PRK Parlimen Port Dickson menyaksikan pertembungan tujuh penjuru antara Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Leftenan Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar (PAS) dan empat lagi calon Bebas iaitu bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, personaliti media sosial Stevie Chan Keng Leong dan Kan Chee Yuen serta bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan. – BERNAMA