KERJASAMA antara PAS dan UMNO telah membuktikan komitmen dalam isu-isu umat Islam di seluruh dunia, daripada isu Palestin hingga konflik lain di negara Muslim menjadi minoriti.
Isu Palestin ialah yang paling jelas menunjukkan kerjasama dan keptihatinan ini, apabila kedua-dua parti Melayu sedia mengetepikan perbezaan politik untuk bersama-sama bersuara sebagai satu umat.
Pada Disember tahun 2017, pemimpin-pemimpin PAS dan UMNO duduk sepentas di Putrajaya untuk sama-sama menunjukkan penentangan terhadap pencabulan Baitulmaqdis.
Kesediaan berkongsi pentas itu bukan yang pertama kali dan pasti bukan yang terakhir, kerana kerjasama lebih rapat akan dibina dan diteruskan selepas pertemuan di Muktamar PAS ke-64 yang berakhir semalam.
Sebelum pertemuan solidariti al-Quds itu, pemimpin tertinggi kedua-dua parti bersama menyuarakan sikap umat Islam dalam isu kekejaman terhadap minoriti Rohingya di Myanmar.
Satu lagi kerjasama yang paling mendalam ialah penglibatan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam mendamaikan pertelagahan di Yaman dalam krisis yang bermula pada 2009.
Ini antara kerjasama yang diceritakan dengan terperinci oleh Presiden PAS itu dalam ucapan penggulungannya semalam.
Abdul Hadi menceritakan bagaimana kerajaan Malaysia pimpinan UMNO memberikan status diplomatik mewakili Malaysia kepada beliau sepanjang misi di Yaman itu.
Dalam ucapannya, Abdul Hadi turut menyebut kerjasama lain antara PAS dan UMNO dalam beberapa isu antarabangsa, termasuk Aceh di negara jiran Indonesia.
Kerjasama di peringkat antarabangsa melibatkan dunia Islam ini disebut sebagai contoh kerjasama dalam hal kebaikan yang menjadi asas kerjasama PAS dengan UMNO yang pada asasnya sudah dijalin.
Pemimpin kedua-dua parti telah membuktikan komitmen masing-masing dalam perjuangan umat Islam.
Datuk Seri Najib Tun Razak semasa menjadi perdana menteri merupakan pemimpin dunia Islam yang konsisten terlibat dalam perjuangan umat Islam.
Pada Disember 2017, Najib ialah antara pemimpin dunia Islam yang dijemput oleh Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan ke Istanbul untuk satu pertemuan antara pemimpin negara Islam menyuarakan bantahan pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara haram Israel.
Beliau ialah salah seorang daripada hanya dua pemimpin dunia Islam yang bersedia dan berani melawat Gaza. Kedua-dua pemimpin sudah tidak menjawat jawatan masing-masing.
Selain Najib, bekas Emir Qatar Syeikh Hamad bin Khalifa ialah pemimpin yang melawat Gaza semasa masih memegang jawatan.
Syeikh Hamad melawat Gaza pada 2012 manakala Najib pada 2013. Kedua-dua lawatan mendapat perhatian dunia dan dikritik oleh Barat kerana didakwa memberi imej positif kepada Hamas dan memberi keabsahan kepada gerakan itu.
Abdul Hadi juga telah dilantik sebagai salah seorang pemimpin Kesatuan Ulama Islam Sedunia yang berpangkalan di Doha, Qatar.
Melalui kedudukan ini, beliau diberi ruang lebih luas untuk terlibat dalam isu umat Islam antarabangsa.
Kedudukan inilah yang mendorong beliau lebih banyak terlibat dalam pembelaan umat Islam di peringkat global, termasuk bersama-sama kerajaan di bawah pimpinan Najib.
Kerjasama yang telah dilaksanakan sejak bertahun lalu kini diteruskan lagi melalui kerjasama lebih rapat antara PAS dan UMNO, walaupun kedua-duanya merupakan parti pembangkang.
Dalam hal ini, suara umat Islam di negara ini perlu disuarakan lebih kuat oleh kedua-dua wakil umat Islam ini, menghadapi kerajaan yang kini dipimpin oleh pihak yang tidak meletakkan isu umat Islam sebagai keutamaan dalam dasar luar. – Mynewshub.tv