KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan kerajaan Malaysia dan tiga lagi membayar ganti rugi RM50,000 kepada pakar bius dari Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM), Kolonel Dr. Faiz Azraai Abdul Aziz atas dakwaan menahan secara salah pegawai perubatan itu selama empat hari.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dalam keputusannya juga memerintahkan kerajaan, Pegawai Memerintah HATTM, Brigedier Jeneral Datuk Dr. Zulkeffeli Mat Jusoh dan Panglima Tentera Darat, (kini bersara) Jeneral Tan Sri Zulkiple Kassim dan Majlis Angkatan Tentera yang dinamakan sebagai pihak defendan membayar kos RM10,000 kepada Faiz Azraai selaku pihak plaintif.
Peguam Mohamed Nasser Yusof yang mewakili Faiz Azraai memberitahu pemberita, penyelesaian itu direkodkan di kamar hakim selepas pihak-pihak yang terlibat dalam kes saman itu mencapai penghakiman persetujuan.
Dalam pernyataan tuntutan terpinda, Faiz Azraai selaku pihak plaintif telah ditahan di rumahnya di Taman Tun Dr. Ismail pada 4 Mei tahun lalu oleh anggota Polis Tentera atas kesalahan di bawah undang-undang perkhidmatan tentera kerana tidak hadir bertugas tanpa cuti.
Penahanan itu dibuat atas permintaan defendan pertama ( Zulkeffeli). Pihak plaintif mendakwa, telah dimasukkan serta dikurung dalam sel tahanan di 92 Pusat Tahanan Kem Batu Kentonmen, Jalan Ipoh pada pukul 2.45 petang tarikh yang sama tanpa dibawa ke hadapan majistret sehingga melebihi tempoh 24 jam yang dibenarkan seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 174(4) Akta Angkatan Tentera 1972.
Pihak plaintif hanya dibawa ke Mahkamah Majistret 2 di sini pada pukul 2 petang, 8 Mei tahun lalu dan Majistret Mahyudin Mohamad Som memerintahkan supaya pihak plaintif dibebaskan atas sebab penahanannya merupakan suatu tahanan salah dan tidak mengikut peruntukkan Seksyen 174(4) Akta Angkatan Tentera 1972.
Pihak plaintif menyatakan, penahanan salah atas arahan dan juga tindakan defendan pertama dan kedua merupakan suatu kesalahan sehingga menyebabkannya mengalami tekanan perasaan dan trauma hingga mengakibatkan berlakunya kesakitan fizikal. – UTUSAN ONLINE

