MENJELANG pilihan raya kecil di Port Dickson, jentera Datuk Seri Anwar Ibrahim kelihatan sudah mula bergerak lebih agresif hingga mencemaskan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Terbaru, menteri menjaga hal ehwal agama, Datuk Dr Mujahid Yusoff berkata Anwar dikenakan tuduhan palsu dan dizalimi, dakwaan yang secara langsung mengaitkan Mahathir yang memecat Anwar pada 1998.
Serangan paling kuat dibuat oleh Mohd Rafizi Ramli, yang merupakan orang kanan paling diharapkan oleh Anwar pada masa ini.
Rafizi giat berkempen untuk “team Anwar” dalam pemilihan PKR dan turut berkempen untuk Anwar di Port Dickson, pada masa tekanan dikenakan ke atas Anwar dalam kedua-dua padang pertarungan.
Ramai merasakan “kartel” semakin kuat dalam PKR dan pasukan ini bekerjasama dengan Mahathir untuk menyekat Anwar daripada menjadi perdana menteri.
Mahathir didakwa akan memberi kerjasama dan sokongan kepada pihak lawan Anwar di Port Dickson, demi mensabotaj bakal PM itu.
Sama ada dakwaan ini benar atau khayalan, inilah yang dirasai dan dipercayai oleh penyokong-penyokong Anwar dalam PKR.
Port Dickson ialah pintu yang akan membawa Anwar ke dalam dan lebih jauh lagi hingga ke kerusi PM.
Sekiranya Anwar kecundang di Port Dickson, masa depannya dalam politik negara akan terus kelam dan mungkin terus terpadam.
Ini lebih-lebih lagi memandangkan ramai pengikut Anwar sudah beralih ke Mahathir, dan orang kuatnya dulu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sudah mempunyai kekuatan tersendiri sebagai menteri kanan dalam Kabinet.
Parti paling dominan dalam Pakatan Harapan, iaitu DAP juga nampaknya sudah dapat menguasai Mahathir dan semua agenda mereka tercapai dalam pentadbiran baharu.
Mereka kemungkinan besar akan menolak Anwar yang kelihatan lebih pro-Melayu dan lebih mudah untuk menjalin kerjasama dengan parti-parti Melayu UMNO dan PAS.
Tetapi, dalam suasana yang pragmatik sekarang ini, Anwar boleh mengubah sikap dan memberi janji-janji yang menarik kepada mereka yang menolaknya.
Mereka yang mengharapkan royalti petroleum 20 peratus mungkin lebih percaya pada Anwar untuk menunaikannya berbanding Mahathir.
Anwar juga mungkin bersedia membuat perjanjian-perjanjian lain untuk mendapatkan sokongan, kerana tidak ada yang kekal dalam politik. – Mynewshub.tv