TAMPIN – Bagi memupuk semangat cintakan negara, Lions Clubs Tampin hari ini menganjurkan perarakan kibar Jalur Gemilang yang turut melibatkan seramai 50 orang kanak-kanak istimewa di daerah ini.
Program yang bertemakan ‘Kami Anak Merdeka, Negaraku Malaysia’ adalah program kerjasama dengan Kelab Kebajikan Kanak-Kanak Istimewa Daerah Tampin dan merupakan program kali kedua dianjurkan kelab itu dengan yang pertama pada tahun lepas.
Presiden Lions Clubs Tampin Jesu Dass Muthu berkata program itu bermatlamat menerapkan semangat patriotisme dalam diri kanak-kanak istimewa bersempena sambutan Hari Malaysia selain memberi semangat bagi meningkatkan keyakinan mereka dalam menghadapi cabaran hari ini.
”Kita mahu kanak-kanak istimewa ini tidak terpinggir dalam menyambut sambutan Hari Malaysia yang akan disambut pada Ahad ini. Golongan seperti ini kita haruslah memberikan perhatian lebih dan curahkan kasih sayang agar mereka dapat merasai seperti mana kanak-kanak normal,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Antara acara yang turut diadakan pada program itu yang disertai seramai 200 peserta termasuk daripada badan beruniform seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat ialah sukaneka, aktiviti pengurusan diri, komunikasi dan kognitif.
Turut hadir, Anggota Parlimen Tampin Dr Hasan Baharom.
Lions Clubs Malaysia, yang terdiri daripada 112 kelab di Kuala Lumpur, Kelantan, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Terengganu, merupakan pertubuhan khidmat masyarakat sukarela yang menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan. – BERNAMA