BUKIT MERTAJAM – Polis menahan seorang lelaki selepas dia membuat laporan palsu yang mendakwa dia disamun dua lelaki yang melarikan wang tunai RM20,000 milik syarikatnya di Perkampungan Juru dekat sini petang semalam.
Lelaki berusia 21 tahun itu ditahan selepas pihak polis yang mengambil keterangannya berhubung kehilangan wang tunai itu berasa sangsi dengan laporan polis yang dibuat di ibu pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) di sini.
Dia yang bekerja sebagai kerani syarikat mendakwa dua lelaki bermotosikal memecahkan cermin tingkap keretanya menggunakan tukul besi dan melarikan duit yang disimpan di dalam laci papan pemuka kereta dipandunya selepas dia mengeluarkan wang itu dari sebuah bank di sini pada pukul 4 petang semalam.
Ketua Polis Daerah SPT Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Ab. Hamid berkata, hasil soal siasat yang dijalankan ke atas lelaki itu, polis kemudiannya menahan dua lagi rakannya yang berpakat untuk membuat laporan palsu serta menyimpan wang tunai terbabit.
“Hasil maklumat diterima, polis menahan salah seorang rakan suspek di Taman Impian Indah dekat sini dan menemukan wang tunai RM3,000 serta merampas sebuah kereta jenis Proton Savvy dan dia mengaku berpakat dengan suspek utama.
“Polis kemudiannya menyerbu sebuah pejabat di Bukit Minyak dan menahan seorang lagi rakan mereka yang mengaku menyembunyikan wang tunai sebanyak RM20,000 yang diterima daripada suspek kedua,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, kesemua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

