KUALA LUMPUR – Portal berita video, KiniTV dan pengarahnya dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menghantar komunikasi jelik menerusi video oleh bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang mengkritik bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, dua tahun lalu.
Hakim MM Edwin Paramjothy memutuskan demikian terhadap KiniTV serta pengarahnya, Steven Gan Diong Keng, 56, dan J Premesh Chandran, 49, selaku orang kena saman (OKS) selepas pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan ke atas mereka.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Nazrul Nizam Mohd Zameri memberitahu mahkamah bahawa pihak Jabatan Peguam Negara telah menerima permohonan representasi yang dihantar oleh OKS.
“Justeru itu, kami menerima arahan untuk menarik balik pertuduhan terhadap OKS,” katanya pada hari pertama perbicaraan kes berkenaan.
Bagaimanapun, Nazrul Nizam memohon mahkamah melepas tanpa membebaskan OKS atas alasan kes itu belum diputuskan atas merit iaitu tidak wajar untuk mahkamah melepas dan membebaskan mereka.
Peguam Fahri Azat yang mewakili OKS membantah permohonan itu kerana alasan untuk menarik balik pertuduhan itu dengan melepas tanpa melepaskan anak guamnya adalah tidak kuat.
Selain itu, Fahri berhujah Khairuddin juga tidak didakwa di mahkamah atas perbuatan itu.
Menurutnya, sekiranya mahkamah tidak memberikan kebebasan penuh terhadap OKS, pertuduhan itu akan tergantung ke atas mereka.
Mengikut pertuduhan, KiniTV didakwa atas dua pertuduhan telah secara sedar memulakan penghantaran satu komunikasi yang bersifat jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain berupa paparan video dalam dua versi bahasa Inggeris dan bahasa Melayu.
Dua video berkenaan adalah dengan tajuk “Khairuddin: Apandi Ali not fit to be AG, he should quit immediately” dan Khairuddin: Apandi Ali tidak layak jadi AG, wajar segera letak jawatan.
Kedua-dua video berkenaan dipaparkan di pautan http://www.kinitv.com/video/3670308 dan http://www.kinitv.com/video/36708074 pada jam 1.14 petang dan 1.34 petang, 27 Julai 2016 dan telah dilihat di Jabatan Peguam Negara, Putrajaya, pada jam 10 pagi, 2 Ogos 2016.
Kedua-dua OKS yang juga pengarah di KiniTV turut didakwa atas dua pertuduhan sama dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) dan Seksyen 244(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun, jika sabit kesalahan. – BH Online