SENYAP… Ke manakah pergi ramai pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang dahulu cukup lantang konon mahu bela rakyat, soal Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Adnan Seman.
Jelas beliau, pernah ketika kerajaan Barisan Nasional (BN) membentangkan Bajet 2018 pada tahun lalu, PH juga turut sibuk membentangkan belanjawan versi mereka sendiri dengan gaji minimum RM1,500 disebut secara jelas.
“Selepas itu dinyatakan dalam janji manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 PH. Malah pemimpin PH ketika itu bercakap cukup lantang mengkritik dasar kerajaan BN kerana kononnya tidak mahu kaji gaji minimum RM1,000.
“Seolah-olah merekalah pejuang rakyat dan secara terbuka pernah mencabar menteri-menteri BN untuk cuba rasai hidup susah dengan hanya gaji minimum RM1,000 pada setiap bulan. Sekarang ini mereka sudah ‘krik krik krik…’
“Sedangkan pada zaman BN dahulu, pelbagai program kebajikan rakyat dilaksanakan bagi kurang beban kos sara hidup termasuk pekerja miskin,” kata Adnan dalam hantaran terbaharu menerusi laman sosial Facebooknya hari ini.
PH bukan sahaja mahu mengurangkan pelbagai insentif sara hidup seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan Klinik 1Malaysia, malahan tergamak mahu menghapuskannya pula, bidas pengamal undang-undang itu lagi.
“Bonus penjawat awam sempena Aidilfitri dikurangkan dan tiada lagi kenaikan gaji tahunan… ambil kira juga puluhan ribu pekerja dipecat dan hilang pekerjaan mereka secara tiba-tiba dengan polisi kerajaan PH sekarang.
“Kos sara hidup terus meningkat. Harga barangan dan perkhidmatan juga semakin mahal… SST (cukai jualan dan perkhidmatan) pula dilaksana. Jadi mana pergi pemimpin PH yang kononnya pejuang rakyat? Mana?” soalnya lagi.

