ALOR SETAR – Hasrat seorang pelajar perempuan untuk melanjutkan pengajian hingga ke menara gading terpadam apabila dia disahkan menghidap kanser limfoma sejak awal tahun ini.
Nur Farahannis Hasdi, 20, pelajar Tingkatan Enam dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sik mengalami demam panas berlarutan dan tidak bermaya sejak dua tahun lalu sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini.
Ibunya, Shahron Che Amin, 47, berkata, selepas menjalani ujian pengimbasan CT Scan awal tahun ini, doktor pakar yang merawatnya memberitahu anak kedua daripada tiga beradik itu menghidap kanser darah tersebut.
“Setelah dia disahkan kanser itu, saya yang bekerja tukang cuci di Pusat Kegiatan Guru di Sik dengan pendapatan RM800 sebulan terpaksa ponteng kerja dan berulang-alik menaiki bas dari Sik ke Alor Setar untuk membawa dia mendapatkan rawatan susulan.
“Sedih melihat keadaan dia dari seorang yang periang kepada seorang yang terlantar dan berselirat wayar di badan kerana dia anak yang bercita-cita tinggi untuk menjejakkan kaki ke universiti seperti yang diidamkan sebelum ini,” katanya kepada pemberita di Wad HSB di sini, hari ini.
Shahron berkata, Nur Farahannis hanya sempat ke sekolah selama tiga minggu sebelum terpaksa ponteng dan tidak bersekolah lagi.
Katanya, sejak dia dimasukkan ke HSB, Shahron juga sering bercuti dan gajinya turut dipotong oleh majikan apabila tugasnya diganti oleh pekerja lain, manakala pendapatan suaminya yang hanya penoreh getah juga tidak menentu bagi menyara seorang lagi anak mereka bersekolah di Tingkatan Empat Sekolah Menengah Sains Pokok Sena.
“Anak sulung, Nur Alia Izzati Hasdi, 21, pun akan berhenti kerja di Langkawi tidak lama lagi untuk membantu saya, hidup kami semakin sukar dan sangat memerlukan bantuan kewangan bagi menampung perbelanjaan ketika ini,” katanya.
Kata Shahron, walaupun anaknya mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM150 sebulan, tetapi hanya cukup untuk membeli barangan keperluannya seperti susu khas.
Kesempitan hidup yang dialami Shahron mendapat perhatian Timbalan Pengerusi Persatuan Sahabat Prihatin Kedah, Rukiza Abu Bakar yang berkunjung ke rumah keluarga itu dan menyampaikan bantuan berupa susu khas dan barangan keperluan makanan bagi meringankan beban yang ditanggung.
“Kita akan usulkan kepada JKM, kalau boleh tingkatkan bantuan bulanan dan kita juga berusaha untuk mendapatkan bantuan daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK),” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Shahron di talian 013-4114571 atau menyalurkan terus ke akaun BSN Shahron 02115-4100011046-5.- BERNAMA