KULIM – PKR menunggu siasatan polis selesai terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan diambil ke atas ahlinya yang melanggar disiplin berhubung kekecohan pada pemilihan parti itu Sabtu lalu.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, berkata sehingga kini kes masih dalam siasatan polis dan parti sedang menunggu laporan kejadian itu.
Katanya, pendekatan mengambil tindakan ke atas ahli parti pada masa sekarang tidak sesuai kerana lebih baik menunggu siasatan pihak polis selesai dahulu.
“Dalam isu ini jika ia mempunyai kaitan dengan salah laku disiplin maka jawatankuasa disiplin parti akan mengambil tindakan selanjutnya.
“Pada pandangan saya, sehingga kini parti hanya diberitahu ada penahanan ahli parti oleh pihak polis, jadi biarlah proses (siasatan) itu berjalan dahulu,” katanya ketika di temui media selepas majlis perasmian Jelajah Pendidikan Luar Bandar dan Tuisyen MARA 2018 Peringkat Daerah Kulim/Bandar Baharu di Dewan Kolej MARAKulim, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah MARA Kedah, Yahya Sani dan Ketua Pegawai Korporat Celcom Axiata Berhad, Zuraida Jamaluddin.
Saifuddin Nasution mengulas mengenai kenyataan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa ahli PKR yang dibuktikan menyebabkan kekecohan pada pemilihan parti itu akan dibuang.
Beliau berkata, apa yang disuarakan Anwar itu difahaminya iaitu jika jelas berlaku pelanggaran disiplin, maka jawatankuasa disiplin boleh mengambil tindakan sewajarnya.
Mengulas mengenai kekecohan yang berlaku pada pemilihan parti, Saifuddin Nasution berkata, sudah tentu akan ada penambahbaikan untuk pemilihan akan datang.
“Sudah tentu ada banyak ruang penambahbaikan yang akan kami bincang malam esok ketika parti mengadakan mesyuarat Biro Politik mingguan.
“Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) akan memberi laporan punca kejadian berkenaan kepada Biro Politik dan langkah pembaikan untuk memastikan hal sama tidak berulang pada pemilihan di negeri lain pada minggu berikutnya dan pemilihan akan berjalan lancar.
“Saya memilih untuk mendengar sendiri laporan daripada JPP malam esok dan di situ secara sahih boleh mengetahui punca sebenar kejadian,” katanya.
Beliau juga meminta jika ada rasa tidak puas hati atau bukti menunjukkan kelemahan tatacara perjalanan pemilihan oleh ahli parti dari Kedah dan Pulau Pinang boleh membawa segera perkara itu kepada JPP untuk disampaikan kepada Biro Politik malam esok. – BH ONLINE

