PUTRAJAYA – Bahagian Pasca Perkhidmatan (Pencen), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini menafikan dakwaan mengatakan penjawat awam menerima baik cadangan kerajaan berhubung pencen dihentikan.
Menurut kenyataan dikeluarkan hari ini, Bahagian Pasca Perkhidmatan berkata, maklumat yang viral, kononnya dikeluarkan oleh Berita Harian, adalah palsu.
“Pihak kami ingin mengesahkan berita ini adalah palsu. Gambar dan kenyataan sebenar atau asal yang dikeluarkan oleh Berita Harian adalah bertajuk ‘Gaji minimum seragam RM1,050 berkuat kuasa tahun depan’.
“Justeru, mohon disebarkan untuk makluman semua bakal pesara, pesara, waris dan tanggungan pesara kerajaan,” katanya.
Beberapa hari lalu, satu gambar memaparkan kononnya berita bertajuk ‘70% penjawat awam terima dengan baik cadangan kerajaan, pencen dihentikan’, viral dalam media sosial Facebook.
Pihak tidak bertanggungjawab itu menggunakan logo BH Online seolah-olah mahu menunjukkan ia berita yang dilaporkan oleh Berita Harian.
Bagaimanapun, paparan maklumat palsu itu sebenarnya disunting daripada berita sebenar yang dikeluarkan BH Online pada 5 September lalu bertajuk, ‘Gaji minimum seragam RM1,050 berkuat kuasa tahun depan’. – BH Online

