ALAHAI… Sama ada memang lupa atau nyanyuk, jawapan terbaharu Tun Dr. Mahathir Mohamad di Parlimen hari ini jelas membuktikan tahap ingatan perdana menteri tertua di dunia itu kian teruk!
Ini menyebabkan bukan sahaja Ahli-ahli Parlimen dari Barisan Nasional (BN) geleng kepala, malah petugas media pening apabila dengar jawapan selamba Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang mungkin mahu melepaskan dirinya.
Mahathir, 93, mendakwa tidak ingat ada minta maaf kepada sesiapa berhubung tindakannya pada 1993 meminda perlembagaan supaya perkenan raja tidak lagi diperlukan dalam mewartakan undang-undang diluluskan Parlimen.
Menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen BN Kuala Krau, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said ketika sesi soalan lisan di Dewan Rakyat, Mahathir pertahan tindakannya itu dengan alasan konon ia dibuat atas keperluan negara.
“Saya tidak ingat meminta maaf kepada sesiapa. Saya mengadakan undang-undang ini atas keperluan negara. Sebenarnya tiga kali kita telah pinda Perlembagaan untuk menjelaskan tujuan undang-undang itu diadakan.
“Pada mulanya kita mencadangkan jika Yang di-Pertuan Agung (YDPA) tidak menandatangani undang-undang itu dalam masa 15 hari, maka undang-undang itu dianggap sudah dilulus. Ini tidak dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja.
“Namun atas rundingan dan tolak ansur, kita bersetuju supaya jangka masa itu diberi ialah 30 hari untuk YDPA merujuk balik kepada dewan-dewan (Dewan Rakyat dan Dewan Negara) untuk pindaan jika diperlukan.
“Jika dewan ini tidak meminda, atau meminda, YDPA boleh beri persetujuannya atau jika tidak diberi persetujuan pun dalam jangka masa 30 hari, iaitu setelah 30 campur 30, maka undang-undang itu akan dianggap sah.
“Tetapi ini mengambil masa selama 60 hari. Undang-undang perlu dikuatkuasakan dalam jangka masa pendek. Sebab itu kemudian daripada itu pada tahun 1993 dipinda sekali lagi undang-undang.
“Ia supaya selepas 30 hari undang-undang itu dikemukakan, kalau YDPA tidak tandatanganinya ia masih dianggap sebagai telah diluluskan. Itulah yang saya tahu kerana pada masa itu saya bertanggungjawab,” jelas Mahathir.
Untuk rekod, Mahathir sekitar Ogos 2016 ada membuat kenyataan secara terbuka memohon maaf atas tindakannya itu yang dianggap sebagai hina kuasa Raja-Raja Melayu dan YDPA menerusi satu tulisan pada blog beliau sendiri.
“Saya dengan penuh ikhlas memohon maaf kerana membuat pindaan tersebut yang terbuka kepada tafsiran yang berbeza,” kata Mahathir dalam tulisan itu disiarkan menerusi Chedet.cc.
Beliau menjawab soalan tambahan Ismail yang meminta kerajaan PH menjelaskan mengapa masih lagi ingin mengekalkan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang dilihat semakin menghakis kuasa Raja-Raja Melayu.
Ketika mengemukakan soalan, Ismail turut membangkitkan dua insiden iaitu permohonan maaf Mahathir atas tindakannya meminda perlembagaan tersebut pada Ogos 1996 dan isu Presiden PKR,
Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan untuk mengembalikan kuasa YDPA meluluskan undang-undang namun permohonan itu kemudian telah ditarik balik pada Januari lalu
Terdahulu menjawab soalan asal Ismail sama ada kerajaan akan kaji dan meminda semula Perkara 66(4A) Perlembagaan Persekutuan itu, Mahathir memberitahu kerajaan akan kaji lebih lanjut perkara ini hanya sekiranya terdapat keperluan untuk tafsiran mengenainya diperjelaskan lagi.
Sementara itu menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen GPS Santubong, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengenai keperluan kerajaan mengekalkan pindaan tersebut, Mahathir menjelaskan sekiranya tindakan tersebut diambil, ia akan menjadikan negara ini sebagai negara Raja berkuasa mutlak.
“Negara kita adalah negara demokrasi yang mana suara rakyatlah yang menentukan segala-galanya. Namun demikian kita memberi tempat kepada YDPA supaya YDPA juga mengetahui tentang undang-undang yang diluluskan oleh rakyat dalam kedua-dua dewan.
“Kalau YDPA diberi kuasa mutlak untuk menolak undang-undang, maka rakyat telah kehilangan kuasa. Dan dengan itu kita bukan demokrasi lagi, kita menjadi satu negara raja berkuasa mutlak.
“Saya tak yakin bahawa ahli Yang Berhormat nak sistem itu. Dan kita semua bersetuju dan Yang Berhormat dulu bersetuju juga dengan saya iaitu kuasa berada di kepada rakyat dan rakyatlah yang menentukan.
“Sebab itulah pindaan dibuat supaya keputusan rakyat tidak boleh diketepikan ataupun dibatalkan oleh YDPA,” dalih Mahathir sebagai cuba pertahankan tindakannya itu. – Agensi/Mynewshub.TV

