Wednesday, July 24, 2024

Creating liberating content

Soo Wincci Sambung Belajar,...

PELAKON dan penyanyi, Soo Wincci menghabiskan masa selama enam tahun untuk menggenggam segulung...

Agong Terima Kunjungan Hormat...

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V hari ini berkenan menerima...

Kanak-Kanak 6 Tahun Cedera...

ALOR SETAR - Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun cedera di betis kanan...

Zika: Thailand Sahkan 11...

BANGKOK - Thailand mencatat 11 kes baharu jangkitan Zika yang dilaporkan berlaku di...

Tukar 1kg Minyak Masak Dengan RM1.20!

PUTRAJAYA – Apa yang anda akan lakukan dengan minyak masak yang telah digunakan berulang kali? Kebiasaannya, bahan itu akan terus dibuang ke dalam tong sampah atau longkang bukan?

Tahukah anda minyak masak terpakai sebenarnya boleh dihantar ke pusat kitar semula Alam Flora (Buy Back Centre) dan anda akan dibayar RM1.20/kilogram, dan mampu memberikan pendapatan yang lumayan sekiranya ia dilakukan secara berterusan.

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn Bhd Datuk Mohd Zain Hassan berkata langkah memberi insentif bagi setiap kilogram minyak masak itu dibuat bagi menggalakkan orang ramai mengamalkan prinsip 5R, iaitu Tolak, Kurangkan, Guna Semula, Kitar Semula dan Pemulihan.

“Minyak masak terpakai yang telah diproses berupaya dijadikan barang bernilai antaranya sabun, produk kosmetik dan lilin malah boleh ditukar menjadi biodiesel menerusi proses ‘transesterifikasi’ untuk kegunaan kenderaan berat seperti bas dan traktor,” katanya kepada Bernama, di sini baru-baru ini.

Katanya setakat Mei lepas, inisiatif berkenaan yang dilaksanakan sejak 2013, berjaya mengumpul sebanyak 270 tan minyak masak terpakai dari kawasan Putrajaya, Selangor dan Kuala Lumpur.

Mohd Zain berkata pihaknya sangat mengalu-alukan pengguna minyak masak di rumah mahupun pengusaha makanan untuk menghantar minyak masak terpakai yang diisi di dalam bekas yang sesuai ke pusat berkenaan sebanyak mungkin.

“Sekiranya ada permintaan tong daripada pengusaha restoran untuk mengumpul minyak masak ini, kami akan sediakan. Malah kami juga akan bantu untuk kutip tong berkenaan di restoran terbabit mengikut kuantiti minimum yang ditetapkan,” katanya.

Tambah Mohd Zain, selain kitar semula, inisiatif mengumpul minyak masak terpakai itu penting dalam menangani masalah longkang tersumbat dan berbau serta masalah pencemaran air.

Mengulas mengenai cabaran pelaksanaannya, Mohd Zain berkata kesedaran untuk mengitar semula minyak masak masih di tahap yang rendah berikutan kurangnya pendedahan mengenai faedah tindakan itu.

“Kempen kesedaran sentiasa giat dijalankan di sekolah, dengan peniaga makanan dan sebagainya. Walaupun ia akan ambil masa yang agak lama untuk ubah mentaliti orang untuk mengamalkannya, kami yakin orang awam akan tahu peri pentingnya mengitar semula minyak yang dimasak,” jelasnya.


Menurut Mohd Zain lagi, secara purata Alam Flora dapat mengumpul sehingga sembilan tan minyak masak terpakai sebulan yang bersamaan dengan 30 hingga 40 tong yang kemudiannya akan dijual kepada pihak-pihak yang berminat.

Beliau berkata setakat ini perkhidmatan mengumpul minyak kitar semula boleh didapati di Pusat Kitar Semula Alam Flora di Jalan Bunus 6, Kuala Lumpur dan Precint 9 di Putrajaya.

Mengulas mengenai relevan larangan menggunakan minyak masak secara berulang kali, Ketua Unit Jaringan Industri & Masyarakat Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul, Universiti Putra Malaysia, Prof Dr Mohd Ali Hassan berkata minyak yang digunakan lebih daripada had maksimum boleh menyebabkan peningkatan kolesterol dalam tubuh dan penyakit jantung.

“Minyak masak yang digunakan lebih dari tiga kali dengan suhu yang panas akan menyebabkan rantaian yang panjang dalam minyak berkenaan menjadi pendek dan ia tak bagus untuk kesihatan.

“Juga jangan terkejut jika ada peniaga yang menggoreng makanan sehingga minyak menjadi hitam dan hanya menambah minyak baharu ke dalam kuali tanpa menukar minyak lama tersebut kerana mereka beranggapan kalau asyik tukar (minyak), banyak pula kos nak beli minyak masak baru,” katanya.

Mohd Ali berkata kebiasaannya, minyak masak terpakai yang dibuang ke dalam tong sampah akan mengakibatkan sampah berkenaan sukar terurai dan jika dibawa ke pusat pelupusan sampah, ia akan memberikan masalah lain seperti pencemaran bau, air dan sebagainya.

“Satu tan kutipan sampah untuk dilupuskan memakan kos pengurusan kira-kira RM200 dan ini termasuklah kos kutipan, kos pelupusan di tempat pembuangan sampah serta kos membersihkan kesan minyak masak yang akan ambil masa lama untuk sampah tersebut terurai walhal duit itu boleh digunakan untuk benda yang lebih berfaedah,” katanya. – BERNAMA

Kategori