PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan serbuan serentak di beberapa lokasi di Sabah semalam, bagi mengambil dokumen berkaitan siasatan kes rasuah membabitkan Jabatan Perhutanan negeri.
Sumber memberitahu, operasi yang disertai kira-kira 40 pegawai SPRM itu bermula jam 9.30 pagi di sekitar Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau dan Tambunan.
Turut dirampas ialah dokumen di rumah seorang pegawai kanan jabatan berkenaan di Sandakan.
“Antara dokumen yang diambil dari rumah dan pejabat suspek ialah dokumen Jabatan Perhutanan serta dokumen kewangan syarikat yang sudah memperoleh projek daripada jabatan itu,” katanya, hari ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan.
Katanya, pihaknya sedang menjalankan siasatan terhadap beberapa pegawai kanan di jabatan itu.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4 Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Wang Haram (AMLATFPUAA) 2001,” katanya. – BH Online

